Persengketaan belum reda, gencatan senjata rapuh Kemboja-Thailand

Persengketaan belum reda sepenuhnya, gencatan senjata rapuh Kemboja-Thailand

ASKAR Kemboja menaiki trak yang dilengkapi pelancar roket BM-21 di wilayah utara Oddar Meanchey, berhampiran sempadan Thailand. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Gencatan senjata yang dipersetujui antara Thailand dan Kemboja gagal meredakan ‘dendam’ kedua-dua negara, apabila pertempuran terus meletus di sepanjang sempadan hutan, hanya beberapa jam selepas perjanjian damai diumumkan.

Selepas rundingan damai di Malaysia kelmarin, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat bermula tengah malam, bagi menamatkan pertempuran yang berpunca daripada perebutan beberapa kuil purba di zon pertikaian sepanjang sempadan 800 kilometer (km) itu.

Namun, jurucakap tentera Thailand, Winthai Suwaree, mendakwa Kemboja melanggar perjanjian itu dengan melancarkan serangan bersenjata ke beberapa kawasan dalam wilayah Thailand sebaik sahaja gencatan senjata berkuat kuasa.

“Ini merupakan satu pelanggaran sengaja terhadap perjanjian tersebut dan cubaan jelas untuk menjejaskan kepercayaan bersama.

“Thailand terpaksa bertindak balas secara wajar, dengan menggunakan hak sahnya untuk mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, menegaskan tiada pertempuran bersenjata berlaku antara satu sama lain di mana-mana kawasan.

Wartawan AFP melaporkan bunyi letupan mula reda 30 minit sebelum tengah malam di bandar Samraong, Kemboja, kira-kira 20 km dari sempadan dan keadaan kekal tenang sehingga awal pagi semalam.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dalam hantaran Facebook awal pagi semalam, turut mendakwa barisan hadapan kini reda sejak gencatan senjata bermula pada pukul 12 tengah malam.

Sejak Khamis lalu, pertempuran melibatkan jet pejuang, roket dan artileri meragut sekurang-kurangnya 38 nyawa dan menyebabkan hampir 300,000 penduduk berpindah, mendorong campur tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Keganasan terbaharu itu adalah yang paling dahsyat sejak siri pertempuran sporadik antara 2008 hingga 2011 berhubung perebutan wilayah yang dituntut kedua-dua negara, berpunca daripada persempadanan samar hasil pentadbiran kolonial Perancis di Kemboja pada 1907.

JAWATANKUASA RENTAS SEMPADAN

Mengikut perjanjian, pegawai tentera kanan kedua-dua negara dijadualkan bertemu pada pukul 7 pagi Selasa, sebelum satu mesyuarat jawatankuasa rentas sempadan diadakan di Kemboja pada 4 Ogos untuk meredakan ketegangan.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa kedua-dua negara untuk menghormati sepenuhnya perjanjian itu dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyelesaikan kemelut berpanjangan serta mencapai perdamaian berkekalan.

Kedua-dua negara dilaporkan cuba meraih sokongan Trump melalui rundingan perdagangan bagi mengelakkan ancaman tarif tinggi.

Jabatan Negara AS turut memaklumkan pegawainya berada di lokasi untuk membantu memudahkan rundingan damai.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua negara serta Malaysia selaku tuan rumah rundingan, gencatan senjata itu disifatkan sebagai langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan.

Kenyataan bersama itu juga menyebut penglibatan aktif China dalam rundingan yang dikendalikan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya.

Manet mengucapkan terima kasih kepada Trump atas sokongan tegas beliau, manakala pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menegaskan gencatan senjata itu mesti dilaksanakan dengan niat baik oleh kedua-dua pihak.

ACARA DIRAJA DIBATALKAN

Sambutan ulang tahun ke-73 Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn pada Isnin turut terjejas apabila notis dalam Warta Diraja memaklumkan acara perayaan umum yang dijadualkan berlangsung di Istana Besar Bangkok dibatalkan susulan konflik yang berlarutan.

Kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan gencatan senjata, namun saling menyalahkan satu sama lain menggagalkan usaha damai serta menuduh penggunaan bom berangkai dan serangan ke atas hospital.

Thailand melaporkan 11 anggota tenteranya dan 14 orang awam terbunuh dalam pertempuran, manakala Kemboja mengesahkan lapan kematian orang awam dan lima askar.

Lebih 138,000 penduduk Thailand terpaksa melarikan diri dari kawasan sempadan, sementara sekitar 140,000 rakyat Kemboja kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran yang berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN