TEL AVIV: Ketua Turus Tentera Israel, Jeneral Eyal Zamir menegaskan konflik ketenteraan menentang Iran masih belum berakhir dan terus menjadi tumpuan utama rejim tersebut, lapor agensi berita Anadolu pada Selasa.
“Iran dan sekutunya masih menjadi sasaran kami. Kempen menentang Iran belum tamat,” kata Zamir semasa menghadiri mesyuarat penilaian ketenteraan yang dipetik menerusi kenyataan rasmi tentera Israel.
Zamir memaklumkan beliau telah mengarahkan pasukan tentera agar bersiap sedia menghadapi kempen berskala besar dan menyeluruh di beberapa kawasan operasi yang melibatkan serangan udara dan darat oleh pasukan Israel.
“Kami akan terus melemahkan serta menggagalkan usaha Syria dan Hezbollah untuk memperoleh keupayaan strategik, dan pada masa sama, mengekalkan kebebasan operasi kami. Operasi juga sedang dijalankan di Judea dan Samaria (Tebing Barat),” katanya.
Zamir turut mengakui perang di Genting Gaza merupakan antara konflik paling rumit yang pernah dihadapi oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
“Kami membayar harga yang mahal dalam pertempuran ini.
“Namun kami akan terus beroperasi bagi mencapai matlamat utama kami: membebaskan semua tebusan dan melumpuhkan Hamas sepenuhnya,” katanya.
Sejak Oktober 2023, Israel membunuh lebih 59,100 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam kempen ketenteraan yang menyaksikan wilayah itu musnah teruk, sistem kesihatan runtuh sepenuhnya, dan krisis kekurangan makanan yang amat kritikal.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas kesalahan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindakannya yang didakwa menjurus kepada pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di wilayah yang dikepung itu. -AGENSI










