PHNOM PENH: Pertempuran berterusan antara tentera Kemboja dan Thailand di kawasan sempadan memaksa ribuan penduduk di utara Kemboja melarikan diri sejak konflik tercetus pada pagi Khamis lalu.
Komuniti luar bandar menjadi mangsa utama dalam konflik yang kembali memuncak di kawasan sempadan yang masih dipertikaikan antara kedua-dua negara.
Menurut Jurucakap Kementerian Pertahanan Kebangsaan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata, seramai 35,800 penduduk dari wilayah Oddar Meanchey, Preah Vihear, Pursat dan Banteay Meanchey telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Beliau memaklumkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala 21 tentera dan 50 orang awam cedera sejak pertempuran bermula.
Ramai daripada penduduk yang terjejas kini berlindung di biara-biara dan kem sementara yang diwujudkan kerajaan Kemboja, dengan penyediaan keperluan asas seperti air bersih, makanan dan rawatan perubatan.
Di wilayah Pursat sahaja, yang terletak bersempadan dengan Thailand, lebih 350 keluarga dipindahkan ke kawasan perlindungan sementara.
Socheata turut mendakwa pasukan tentera Thailand memperluas serangan melepasi zon asal konflik sejak pagi Sabtu.
“Pencerobohan Thailand kini merebak ke beberapa wilayah lain di Kemboja. Pasukan Thai telah melepaskan lima peluru artileri ke kawasan Thma Da, daerah Veal Veng, di wilayah Pursat,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja mengumumkan sebanyak 488 sekolah di wilayah Oddar Meanchey, Banteay Meanchey, Preah Vihear, Koh Kong dan Pursat telah ditutup akibat konflik yang masih berlarutan.
Beberapa wilayah di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand kini dikenal pasti sebagai “titik panas”, dengan insiden tembak-menembak yang berterusan menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan penduduk awam.










