PARIS: Presiden Emmanuel Macron mengesahkan Perancis akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin semasa mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan September.
Sekurang-kurangnya 142 negara kini mengiktiraf atau merancang untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin, menurut kiraan AFP walaupun Israel dan Amerika Syarikat (AS) menentang keras langkah tersebut.
Beberapa negara sudah mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin sejak Israel melancarkan pengeboman terhadap Gaza pada tahun 2023 sebagai tindak balas terhadap serangan pada 7 Oktober.
Pengumuman Macron itu mendapat reaksi tidak puas hati serta-merta dari Israel, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyifatkannya sebagai ‘menyokong keganasan’ ia dan merupakan ancaman kewujudan kepada Israel.
Netanyahu berkata, langkah itu “berisiko mewujudkan satu lagi proksi Iran, seperti mana yang berlaku di Gaza”, yang akan menjadi “tapak pelancaran untuk memusnahkan Israel.
Pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin, Hussein al-Sheikh, menyambut baik langkah itu dan menyifatkannya sebagai mencerminkan komitmen Perancis terhadap undang-undang antarabangsa dan sokongannya terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara merdeka.










