Pelajar vokasional maut lepas minum jus daun ketum - Utusan Malaysia

Pelajar vokasional maut lepas minum jus daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UDON THANI: Seorang pelajar vokasional berusia 19 tahun ditemui maut di bilik asrama di komuniti Khlong Charoen, Udon Thani, Thailand semalam selepas dipercayai meminum sebotol penuh jus daun ketum sebelum tidur.

Mangsa yang dikenali sebagai Kanlaya, merupakan pelajar tahun kedua di sebuah institut vokasional di daerah berkenaan.

Mayatnya ditemui oleh rakan sebilik kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan pada Sabtu lalu, menurut kenyataan oleh Leftenan Polis Sirichai Photchakra dari Balai Polis Mueang Udon Thani.

Menurut laporan awal pihak perubatan, Kanlaya ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di bilik tingkat dua, dengan kesan lebam pada kedua-dua belah lengan, namun tiada tanda-tanda pergelutan atau kecederaan fizikal lain ditemui.

Doktor menganggarkan mangsa telah meninggal dunia satu hingga dua jam sebelum mayatnya ditemui.

Menurut rakan sebiliknya yang juga berusia 19 tahun, pada malam sebelumnya, mereka telah mengunjungi rumah seorang rakan lain dan ketika dua rakannya minum arak, Kanlaya pula dikatakan meneguk habis sebotol penuh jus ketum bersaiz 1.5 liter yang dipercayai dibeli secara dalam talian.

Mereka pulang ke asrama sekitar pukul 5 pagi, namun sebaik sahaja tidur, Kanlaya menunjukkan gejala luar biasa seperti mata terbeliak ke atas, menggigit gigi dan tidak sedarkan diri.

Rakan sebiliknya cuba mengejutkan Kanlaya namun tiada tindak balas manakala seorang lagi rakan segera dihubungi untuk bantuan tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Rakannya turut memaklumkan Kanlaya pernah mengambil jus ketum sebelum ini, namun telah berhenti untuk beberapa ketika.

Tidak diketahui sama ada mangsa mempunyai sebarang masalah kesihatan sedia ada.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap sumber serta kandungan jus ketum yang diminum mangsa dan mayat Kanlaya telah dihantar ke Hospital Udon Thani untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN