TEL AVIV: Dua pertubuhan hak asasi manusia terkemuka Israel mengejutkan masyarakat antarabangsa apabila mendakwa kerajaan Israel memang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, menjadikan mereka antara kumpulan pertama dari dalam negara itu yang membuat tuduhan sedemikian secara terbuka.
Organisasi B’Tselem, dalam laporan setebal 79 muka surat yang diterbitkan pada Isnin, menyatakan hasil siasatan mendalam terhadap dasar Israel di Gaza serta kenyataan oleh pemimpin politik dan ketenteraan kanan Israel membuktikan adanya niat untuk melakukan pemusnahan secara sistematik terhadap rakyat Palestin.
“Kami sampai kepada kesimpulan yang jelas dan tidak dapat disangkal: Israel sedang melakukan genosid terhadap rakyat Palestin,” kata Pengarah Eksekutif B’Tselem, Yuli Novak.
“Tiada apa yang dapat mempersiapkan anda untuk realiti bahawa anda adalah sebahagian daripada masyarakat yang sedang melakukan genosid. Ini adalah satu saat yang amat menyakitkan buat kami,” ujarnya dalam kenyataan.
Turut menyertai B’Tselem ialah organisasi Physicians for Human Rights Israel (PHRI), yang menerbitkan analisis undang-undang dan perubatan berasingan yang mendakwa terdapat usaha terancang dan sistematik untuk menghancurkan sistem kesihatan di Gaza.
PHRI berkata, serangan terhadap hospital, kemudahan perubatan dan infrastruktur sokongan asas di Gaza bukan sekadar kerosakan sampingan perang, tetapi satu dasar yang sengaja menyasarkan populasi Palestin sebagai satu kumpulan.
Dalam kenyataan bersama itu juga, B’Tselem dan PHRI turut mengecam kegagalan masyarakat antarabangsa dalam mengambil tindakan bermakna bagi menghentikan kekejaman ini, khususnya negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan beberapa negara Eropah.
Mereka turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang sebelum ini menyatakan terdapat risiko munasabah tindakan Israel boleh disifatkan sebagai perbuatan genosid.
Di peringkat domestik, tekanan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu juga semakin meningkat di mana protes semakin kerap diadakan bagi menuntut penamatan perang serta pembebasan semua tebusan dan dalam masa yang sama, anggota sayap kanan dalam koalisi kerajaan memberi amaran untuk menggulingkan kerajaan jika perang dihentikan.
B’Tselem menjadi organisasi pertama dari Israel yang secara rasmi mendakwa kerajaan sendiri melakukan genosid, yang sebelum ini hanya dilakukan oleh pelbagai organisasi antarabangsa seperti Amnesty International, Human Rights Watch serta Pakar Genosid seperti Profesor Omer Bartov dan ahli sejarah Israel, Lee Mordechai. –AGENSI











