WASHINGTON: Benjamin Netanyahu berikrar untuk melawan kempen media sosial yang terancang yang menurutnya bertujuan ‘memfitnah dan memburukkan’ Israel, sekali gus menjadi sebagai punca penurunan sokongan terhadap Israel dalam kalangan pengundi AS, khususnya daripada Parti Demokrat.
“Saya percaya ada usaha bersepadu untuk menyebarkan fitnah terhadap Israel dalam media sosial.
“Ia terarah, dibiayai. Ia jahat. Kami berhasrat untuk melawannya, kerana tiada apa yang dapat menewaskan pembohongan selain kebenaran, dan kami akan menyebarkan kebenaran untuk semua lihat.
“Apabila orang didedahkan kepada fakta, kami menang dengan mudah. Itulah yang kami rancang untuk lakukan dalam bulan dan tahun yang akan datang,” katanya kepada wartawan di Capitol Hill selepas ditanya mengenai tinjauan pendapat yang menunjukkan penurunan sokongan terhadap Israel.
Kenyataan Netanyahu dibuat semasa lawatannya ke Kongres, menyaksikan beliau bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan, Mike Johnson.
Beberapa tinjauan menunjukkan penurunan ketara dalam sokongan terhadap Israel dalam kalangan pengundi yang cenderung kepada Demokrat, sejajar dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap impak peperangan di wilayah pantai Gaza yang kini musnah teruk.
Perang yang berterusan itu telah meragut kira-kira 60,000 nyawa dan menyebabkan sebahagian besar penduduk Gaza diancam kebuluran.
Tinjauan Gallup pada bulan Mac menunjukkan kurang daripada separuh rakyat AS bersimpati dengan pendirian Israel, angka terendah sejak Gallup mula menjalankan kajian mengenai isu ini.
Dalam kalangan pengundi Demokrat, 38 peratus menyatakan simpati terhadap rakyat Palestin berbanding rakyat Israel iaitu satu perubahan besar berbanding tinjauan Gallup tahun 2013 yang menunjukkan majoriti Demokrat lebih bersimpati kepada Israel, dengan jurang 36 peratus.
Tinjauan lain turut menunjukkan trend serupa, menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan sokongan bipartisan AS yang kukuh terhadap Israel.










