DUBLIN: Satu kajian terbaharu mendedahkan keju sama ada cheddar matang atau feta yang rapuh kini turut dipenuhi dengan partikel mikroplastik sekaligus mengundang keresahan dalam kalangan penggemar keju.
Penyelidikan yang dijalankan oleh sekumpulan saintis dari Universiti Kolej Dublin bersama Universiti Padova di Itali mendapati buat pertama kali produk tenusu, khususnya keju, penuh dengan mikroplastik.
Kajian itu mendapati keju yang diperam lebih dari empat bulan mengandungi sehingga 1,857 partikel plastik bagi setiap kilogram, kira-kira 45 kali lebih banyak berbanding kandungan mikroplastik dalam air botol.
Keju segar pula mencatatkan 1,280 partikel mikroplastik bagi setiap kilogram, manakala susu didapati mengandungi 350 partikel plastik dalam setiap kilogram.
Menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal npj Science of Food, saintis percaya mikroplastik ini masuk ke dalam keju semasa proses pembuatan, khususnya ketika cecair dibuang dan hanya tinggal pejal.
Proses ini menyebabkan semua bahan pejal tertumpu, termasuklah serpihan mikroplastik.
“Proses pemekatan ini menyebabkan partikel plastik yang kecil turut terkumpul dalam produk akhir seperti keju,” kata laporan itu.
Penyelidikan itu mendapati mikroplastik yang dijumpai dalam produk tenusu kebanyakannya terdiri daripada PET, polietilena, dan polipropilena, iaitu bahan yang sering digunakan dalam tekstil sintetik, plastik pembungkus, dan peralatan pemprosesan makanan.
Serpihan plastik yang lebih besar dan tidak sekata pula dipercayai berpunca daripada kerosakan pada pembungkus plastik, mesin pemprosesan atau alat komponen dalam kilang dan apa yang lebih membimbangkan, tahap mikroplastik dalam susu mentah juga tinggi, dengan kajian sebelum ini menunjukkan purata 190 partikel mikroplastik setiap liter susu mentah.
Ini menimbulkan kemungkinan pencemaran bermula seawal peringkat penternakan, termasuk melalui makanan haiwan yang mengandungi mikroplastik.
Disebabkan saiznya yang amat kecil, mikroplastik boleh meresap ke dalam membran sel, bergerak dari perut ke dalam darah, dan seterusnya masuk ke dalam susu.
Buat masa ini, kesan mikroplastik terhadap kesihatan manusia masih belum diketahui sepenuhnya, namun saintis memberi amaran bahan plastik mengandungi bahan kimia yang bersifat toksik dan karsinogenik.










