LONDON: Putera Harry dan Meghan Markle sekali lagi dikritik apabila pakar diraja, Esther Krakue menyifatkan mereka sebagai pasangan paling membosankan dan tidak menguntungkan di dunia.
Pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu melancarkan pelbagai perniagaan sejak meninggalkan keluarga diraja pada 2020, termasuk perjanjian besar bersama Spotify dan Netflix, namun kerjasama bersama Netflix dijangka berakhir tahun ini.
Krakue mempertikaikan nilai komersial pasangan tersebut dan mendakwa pelaburan syarikat penstriman itu yang didakwa tidak membawa pulangan.
“Netflix terpaksa terima kenyataan mereka melabur dalam pasangan paling membosankan dan tidak menguntungkan di dunia,” katanya.
Krakue menyatakan Spotify lebih awal menyedari perkara itu dan menjauhkan diri daripada pasangan berkenaan.
“Saya rasa orang awam tidak sedar betapa sedikit yang Meghan pertaruhkan dalam projek-projek ini. Misalnya, siapa peduli jika ia gagal? Ia bukanlah projek yang benar-benar dia minati pun,” katanya.
Kritikan itu hadir beberapa hari selepas satu hantaran Instagram terbaharu Meghan daripada jenamanya As Ever menarik perhatian peminat bukan kerana kandungannya, tetapi kerana satu kesilapan kecil.
Dalam gambar yang menunjukkan permukaan dapur dihiasi tepung, telur, penggelek doh dan nota kecil berbunyi You’re beautiful. Full stop, peminat mendapati ada penunjuk kursor berwarna hitam putih di sudut kiri imej mencetuskan spekulasi gambar itu mungkin bukan diambil secara langsung, tetapi diambil tangkap layar dari skrin.









