AUCKLAND, NEW ZEALAND: Malaysia dan New Zealand akan memperkukuhkan kerjasama yang terjalin erat sejak 68 tahun lalu dengan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selama lima hari mulai hari ini.
Fokus utama lawatan kerja Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah adalah mempereratkan kerjasama dalam bidang utama seperti pertahanan, pendidikan, pertanian dan industri halal.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki berkata, lawatan kerja itu turut akan memperkukuhkan kerjasama strategik yang berpaksikan kepada empat tonggak utama iaitu kemakmuran, rakyat, kelestarian alam sekitar dan keamanan serta keselamatan.
Katanya, lawatan kerja itu turut melambangkan kesinambungan pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara sebelum ini termasuk membabitkan kunjungan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada September tahun lalu.
“Lawatan ini dilihat amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. Ia memberi peluang kepada Kerajaan Malaysia untuk berkongsi pencapaian awal, hala tuju serta keutamaan di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dalam kerangka serantau ASEAN.
“Lawatan ini sekali gus mencerminkam iltizam Kerajaan Malaysia memperkukuh hubungan diplomatik, mempromosikan kepentingan nasional serta mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan New Zealand,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Ahmad Zahid dijangka tiba hari ini dengan diiringi oleh delegasi yang terdiri daripada pegawai kanan Kerajaan Malaysia dari Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Perdana Menteri.
Mazita berkata, antara pengisian utama lawatan adalah pertemuan dengan pemimpin tertinggi New Zealand iaitu Gabenor Jeneral, Dame Cindy Kiro; Timbalan Perdana Menteri, David Seymour; Menteri Luar Negeri, Winston Peters dan Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka.
Ahmad Zahid juga akan menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Malaysia di New Zealand yang dijangka dihadiri oleh 250 rakyat Malaysia yang bermastautin dan menetap di sini.
“Lawatan juga merangkumi penyertaan Timbalan Perdana Menteri dalam Forum Halal anjuran bersama Kementerian Industri Utama New Zealand (MPI), sesi libat urus bersama pemimpin industri dan perniagaan New Zealand.
“Turut menyertai adalah termasuk ASEAN New Zealand Business Council (ANZBC) dan New Zealand Trade and Enterprise (NZTE), Lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan serta Sesi Meja Bulat bersama komuniti Mãori di Rotorua,” katanya.
Mazita berkata, kali terakhir pemimpin tertinggi Malaysia melawat New Zealand adalah pada tahun 2005 yang ketika itu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menteri.
Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion
(US$2.54 bilion).
Setakat Jun 2023, Malaysia ialah rakan dagang kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.46
bilion).
Pada 2023 juga, sebanyak 24 projek pelaburan telah diluluskan bernilai RM238.28 juta (US$79.9 juta); menjana 1,137 pekerjaan kepada tenaga kerja Malaysia. – UTUSAN










