KUWAIT: Kuwait pada Isnin mengumumkan pelancaran ‘jambatan udara’ atau air bridge bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, susulan kejayaan kempen derma selama tiga hari yang dianjurkan kerajaan minggu lalu, lapor agensi berita Xinhua.
Penolong Menteri Luar bagi Pembangunan dan Kerjasama Antarabangsa, Hamad Al-Meshaan berkata, dana yang dikumpul akan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti minyak, tepung dan bekalan penting lain dari pasaran tempatan.
Bekalan tersebut dihantar ke bandar El-Arish di Mesir menggunakan pesawat tentera Kuwait sebelum diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir, untuk diagihkan ke Gaza dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Kuwait.
Menurut Al-Meshaan, kerajaan juga sedang mempertimbangkan kemungkinan memindahkan sebahagian bantuan ke Jordan bagi membolehkan tentera Jordan melaksanakan penghantaran melalui guguran udara ke kawasan yang paling terjejas di Gaza.
Sementara itu, Kementerian Luar Kuwait dalam kenyataannya sekali lagi mengecam sekatan yang dikenakan Israel terhadap Gaza, sambil menyatakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing, termasuk peningkatan kes kebuluran dan kekurangan zat makanan.










