Kutub Utara menghijau di musim sejuk, petanda krisis iklim kritikal

Kutub Utara menghijau di musim sejuk, petanda krisis iklim kritikal

KUTUB Utara kini semakin menghijau susulan perubahan iklim yang semakin ketara. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSLO: Kutub Utara yang selama ini sinonim dengan landskap putih terbentang luas, kini semakin berubah wajah akibat perubahan iklim yang kian membimbangkan.

Sekumpulan saintis dari United Kingdom (UK) yang menjalankan kajian lapangan di Svalbard, wilayah di bawah pentadbiran Norway, melaporkan perubahan drastik yang berlaku di kawasan Artik ketika musim sejuk.

Pasukan penyelidik mendedahkan fenomena cuaca luar biasa dengan suhu jauh lebih panas daripada kebiasaan, mencairkan salji dan ais di kawasan yang sepatutnya membeku sepanjang tahun.

Dr. James Bradley, saintis alam sekitar dari Universiti Queen Mary menyifatkan situasi yang berlaku sebagai ‘kejutan yang nyata dan membimbangkan’.

“Dasar iklim global perlu segera disesuaikan dengan realiti bahawa Artik sedang berubah lebih pantas daripada yang diramalkan,” katanya.

Kajian lapangan itu dilakukan pada Februari hingga awal Mac lalu di Svalbard, kawasan yang terletak di dalam Lingkaran Artik.

Di Ny-Ålesund, barat laut Svalbard, suhu purata bagi Februari lalu dicatatkan pada -3.3 darjah Celsius, berbanding purata lama antara 1961 hingga 2001 yang hanya -15 darjah Celsius.

Peningkatan suhu ini mengakibatkan air mencair dan membentuk tasik-tasik sementara, manakala tumbuh-tumbuhan mula kelihatan tumbuh di celah-celah salji yang mencair, memperlihatkan warna hijau seperti musim bunga.

Salji yang biasanya turun di kawasan itu bertukar menjadi hujan, memaksa pasukan penyelidik bekerja dalam keadaan basah tanpa perlu memakai sarung tangan tebal seperti kebiasaan.

Kebimbangan turut disuarakan berkaitan ancaman terhadap komuniti manusia di Svalbard, termasuk risiko runtuhan salji akibat ketidakstabilan lapisan salji di kawasan itu.

Kejadian seumpama ini bukanlah kali pertama, sebaliknya sudah berulang sejak beberapa dekad lalu berikutan fenomena pemanasan global yang semakin meruncing.

Svalbard, yang menjadi penempatan tetap paling utara di dunia, kini berada di barisan hadapan krisis iklim apabila kawasan itu mengalami pemanasan pada kadar enam hingga tujuh kali lebih pantas berbanding purata global. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN