LONDON: Jika sebelum ini pilihan pengurusan kematian biasanya melibatkan pengebumian tradisional menggunakan keranda kayu atau pembakaran mayat, kini satu alternatif mesra alam mula mendapat tempat di hati pencinta alam sekitar.
Sebuah syarikat dari Belanda, Loop Biotech, memperkenalkan keranda mesra alam yang digelar sebagai ‘Living Cocoon’, diperbuat daripada bahan semula jadi yang mampu mereput sepenuhnya dalam tempoh hanya 45 hari selepas ditanam.
Keranda itu dihasilkan menggunakan gabungan sistem akar cendawan (mycelium) dan serat pokok hemp yang dikitar semula, sekali gus menjadikannya mudah terurai tanpa mencemarkan alam sekitar.
Ia dihasilkan di Delft, Belanda, dengan kapasiti pengeluaran sehingga 500 unit pada satu-satu masa.
Menurut Loop Biotech, keranda ini dihasilkan dalam tempoh seminggu dan tidak memerlukan penggunaan cat, gam, varnis atau skru seperti keranda kayu konvensional.
Walaupun masih baharu, penggunaan keranda ini mula mendapat sambutan di Eropah dan kini telah pun digunakan di Amerika Syarikat (AS).
Mark Ancker, menjadi individu pertama di AS yang dikebumikan menggunakan Living Cocoon selepas meninggal dunia pada Jun lalu.
Setakat ini, lebih 2,500 unit keranda tersebut dijual di Eropah, terutama di Belanda dan ia juga boleh dihantar ke Britain serta berharga sekitar 3,000 pound (RM18,500).
Di Britain, harga keranda kayu biasa boleh mencecah antara 270 hingga 2,000 pound (RM1,700 hingga RM12,400) bergantung kepada jenis kayu dan tahap pertukangan. Namun, Loop Biotech menegaskan keranda kayu memerlukan masa puluhan tahun untuk pokok membesar, selain proses menebang, mengangkut dan memproses kayu yang menyumbang kepada pencemaran karbon.










