TEL AVIV: Pertikaian tercetus antara kerajaan Israel dan pihak tentera berhubung kos serta implikasi rancangan kontroversi pembinaan kem untuk rakyat Palestin di selatan Gaza.
Projek yang digelar ‘bandar kemanusiaan’ itu dirancang untuk menempatkan penduduk Palestin secara beramai-ramai di kawasan antara sempadan Mesir dan koridor Morag, laluan tentera Israel yang merentasi Gaza.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan tentera menyediakan pelan pembinaan kem tersebut.
Israel mahu mengekalkan kehadiran tentera di kawasan selatan Gaza, termasuk di runtuhan bandar Rafah yang akan menjadi lokasi kem, manakala Hamas menuntut pengunduran sepenuhnya.
Projek itu menjadi isu utama dalam rundingan gencatan senjata, dan turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Israel termasuk United Kingdom (UK).
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, memberi amaran projek itu berisiko menjadi ‘kem tumpuan’, dan mendakwa pemindahan paksa rakyat Palestin boleh dianggap sebagai pembersihan etnik.
Kenyataan Olmert menerima kritikan keras daripada beberapa ahli politik, tetapi disokong oleh pihak tentera yang turut menentang rancangan tersebut.
Dalam mesyuarat Kabinet Keselamatan pada Ahad, Ketua Turus Tentera Israel (IDF), Eyal Zamir, bertelagah dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengenai pelan itu.
Zamir berkata, pembinaan kem akan mengalihkan dana dan sumber penting daripada operasi ketenteraan serta menjejaskan misi menyelamatkan tebusan.
Pejabat Zamir juga menegaskan pemindahan orang awam bukan sebahagian matlamat perang, sebagai respons kepada kebimbangan pasukan simpanan mengenai potensi arahan melaksanakan jenayah perang.
Netanyahu pula dilaporkan tidak berpuas hati dengan cadangan tentera yang disifatkan terlalu mahal dan lambat, serta menuntut pelan baharu dikemukakan selewat-lewatnya pada Selasa.
“Saya mahukan pelan yang realistik,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh Channel 12.
Sementara itu, pegawai Kementerian Kewangan memberi amaran bahawa projek tersebut akan menelan belanja sebanyak 15 bilion shekel (RM18.8 bilion) setahun dan bakal menjejaskan peruntukan untuk sekolah, hospital serta kebajikan awam. – AGENSI










