GENEVA: Fenomena kemarau yang meruncing di seluruh dunia kini mendorong puluhan juta manusia ke ambang kebuluran, menurut satu laporan antarabangsa yang memberi amaran krisis iklim mempercepatkan bencana kemanusiaan berskala global.
Di rantau Afrika Timur dan Selatan, lebih 90 juta orang berdepan kelaparan melampau akibat kemarau terburuk dalam sejarah, yang mengakibatkan kegagalan tanaman secara besar-besaran dan kematian ternakan dalam jumlah tinggi.
Di Somalia, satu perempat daripada populasi kini berada dalam keadaan hampir kebuluran manakala sekurang-kurangnya sejuta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat bencana tersebut.
Menurut laporan yang diterbitkan pada Rabu oleh Pusat Mitigasi Kemarau Kebangsaan AS (NMDC), Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Memerangi Penggurunan (UNCCD) dan Perikatan Ketahanan Kemarau Antarabangsa, situasi ini bukan lagi fenomena sementara tetapi permulaan kepada krisis global yang perlahan-lahan mengganas.
“Ini bukan sekadar musim kering. Ini adalah bencana global yang bergerak perlahan dan paling teruk saya pernah lihat,” kata pengarah dan pengasas NMDC, Mark Svoboda yang juga salah seorang penulis laporan berkenaan.
Kajian mendalam dilakukan terhadap lebih 10 negara di empat rantau utama iaitu Afrika, Asia Tenggara, Amerika Latin dan Mediterranean dengan data dikumpul daripada kerajaan, institusi saintifik dan sumber tempatan. Hasilnya menggambarkan penderitaan manusia dan kehancuran ekonomi yang semakin ketara.
Di Amerika Latin, kemarau menyebabkan paras air di Terusan Panama menurun mendadak sehingga mengganggu penghantaran kapal, menjejaskan perdagangan dan meningkatkan kos global. Antara Oktober 2023 hingga Januari 2024, trafik kapal menurun lebih satu pertiga.
Di Afrika Selatan, satu per enam daripada penduduk sudah memerlukan bantuan makanan sejak Ogos lalu. Di Zimbabwe pula, hasil jagung merosot sehingga 70 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala lebih 9,000 ekor lembu mati akibat kekurangan air dan makanan.
Bencana ini turut memberi kesan serius di Mediterranean. Maghribi telah mengalami enam tahun kemarau berturut-turut menyebabkan defisit air mencecah 57 peratus. Di Sepanyol, pengeluaran zaitun jatuh 50 peratus berikutan hujan yang tidak mencukupi menyebabkan harga minyak zaitun melonjak dua kali ganda.
Di Turkiye, sebanyak 88 peratus tanah negara itu kini berisiko menjadi gurun akibat kemerosotan tanah manakala permintaan sektor pertanian telah mengosongkan lapisan air bawah tanah. Akibatnya, lubang benam berbahaya mula muncul akibat pengambilan air berlebihan. -AGENSI









