PEKANBARU: Kebakaran hutan dan tanah gambut mencetuskan kebimbangan di wilayah Riau dan Sumatera Utara selepas api yang sebelum ini berjaya dipadam kembali marak akibat cuaca panas dan angin kencang.
Di Jalan Hap Jaya, Desa Rimbo Panjang di Riau, api yang berjaya dipadam dua hari lalu kembali merebak dengan pantas ke kawasan ladang kelapa sawit dan tanaman nanas, membawa asap tebal ke kawasan sekitar.
Namun anggota Manggala Agni, Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan pasukan polis yang dikerah ke lokasi itu berdepan kesukaran akibat angin kencang dan sumber air di terusan berhampiran didapati sudah kering.
“Air di terusan itu sudah kering, jadi sukar untuk kami memadamkan api yang makin marak. Jumlah anggota pemadam kebakaran juga amat terhad, hanya enam orang daripada Manggala Agni bersama beberapa anggota tentera dan polis komuniti.
“Mereka juga terpaksa dibahagikan ke beberapa lokasi kebakaran hutan lain di daerah yang sama,” kata Anggota Manggala Agni dari Daerah Operasi Sumatera IV/Pekanbaru, Jefriadi.
Sementara itu, di wilayah Sumatera Utara, kebakaran turut berlaku sejak Jumaat lalu di empat kawasan berlainan di Padang Lawas melibatkan sekurang-kurangnya 422 hektar hutan dan ladang.
Menurut Ketua Bahagian Kecemasan, Logistik dan Peralatan di Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Utara, Sri Wahyuni, lokasi pertama yang terbakar adalah di Desa Gulagan dan kini sudah merebak hingga ke Barumun dan Aek Nabara
“Kebakaran melibatkan kira-kira 400 hektar kawasan hutan kayu dan ladang kelapa sawit. Di Barumun, kejadian bermula sekitar pukul 1.30 petang (waktu tempatan) memusnahkan kira-kira dua hektar ladang.
“Di Aek Nabara, api merebak membakar 20 hektar kawasan ladang pokok kelapa sawit, getah, serta semak belukar. Kebakaran turut berlaku di Sosa namun jumlah keluasan tanah yang erjejas masih dalam proses pengiraan,” katanya.










