Kanada iktiraf Palestin pada UNGA September ini dengan syarat Hamas tidak boleh tadbir Gaza - Utusan Malaysia

Kanada iktiraf Palestin pada UNGA September ini dengan syarat Hamas tidak boleh tadbir Gaza

NAEEMA mendukung anak lelakinya berusia dua tahun yang mengalami kekurangan nutrisi selepas sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza masih berterusan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, pada Rabu mengumumkan negaranya bercadang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung September ini.

Langkah ini dijangka menambah tekanan antarabangsa terhadap kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu, ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Menurut Carney, pengiktirafan rasmi itu bergantung kepada beberapa syarat, termasuk komitmen pihak Berkuasa Palestin untuk melaksanakan reformasi penting dalam tadbir urus serta penganjuran pilihan raya umum pada tahun 2026 dengan syarat pejuang Hamas tidak dibenarkan mengambil bahagian.

Pengumuman Kanada itu dibuat hanya seminggu selepas Perancis turut menyatakan hasrat serupa, manakala Britain menyatakan bahawa ia akan mengiktiraf Palestin sekiranya konflik di Gaza tidak dihentikan menjelang persidangan tersebut.

Langkah oleh negara-negara sekutu rapat Israel ini mencerminkan kemarahan yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa terhadap situasi kemanusiaan yang memburuk di wilayah yang dikepung itu.

Keadaan di Gaza semakin kritikal, dengan laporan kematian akibat kebuluran kian meningkat. Kementerian Kesihatan Gaza pada Rabu melaporkan tujuh kematian berkaitan kebuluran, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang menghidap penyakit kronik.

Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 50 penduduk terbunuh dalam tempoh tiga jam pada hari yang sama, ketika mereka cuba mendapatkan bantuan makanan daripada trak Program Makanan Sedunia (WFP) yang memasuki Gaza Utara.

Pemantau kelaparan global turut memberi amaran bahawa Gaza kini berdepan senario kebuluran paling buruk yang pernah direkodkan dalam dekad ini, dengan akses kepada makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas hampir terputus sepenuhnya akibat sekatan dan serangan berterusan.

Dengan pengumuman dari Kanada ini, tekanan terhadap Israel dijangka terus meningkat, terutamanya dalam kalangan negara-negara Barat yang sebelum ini enggan mengiktiraf Palestin kerana pertimbangan politik dan keselamatan di Asia Barat.

Namun, kenyataan Carney memberi isyarat pendekatan antarabangsa kini sudah berubah, dengan fokus yang semakin tertumpu kepada penyelesaian dua negara dan keperluan mendesak untuk melindungi hak asasi serta keselamatan rakyat Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN