'Kami tidak akan lucut senjata, itu hanya untungkan Israel' - Utusan Malaysia

‘Kami tidak akan lucut senjata, itu hanya untungkan Israel’

SHEIKH NAIM QASSEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Timbalan Ketua Hezbollah, Sheikh Naim Qassem, menolak desakan antarabangsa agar kumpulan bersenjata itu melucutkan senjata, dengan menyatakan langkah tersebut hanya akan memberi kelebihan kepada Israel dan menjejaskan kedaulatan Lebanon.

Dalam satu ucapan sempena memperingati kematian komander kanan Hezbollah, Fuad Shukr, yang terbunuh dalam serangan Israel, Qassem berkata:

“Mereka yang mendesak pelucutan senjata sebenarnya mahu kami serahkan senjata kepada Israel… Kami tidak akan tunduk kepada Israel.”

Penegasan itu hadir ketika Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Lebanon untuk mengeluarkan keputusan kabinet rasmi yang menyokong pelucutan senjata Hezbollah, satu langkah yang dianggap Washington sebagai syarat utama sebelum rundingan gencatan senjata dengan Israel dapat diteruskan.

Cadangan tersebut termasuk penarikan semua senjata Hezbollah dalam tempoh empat bulan, sebagai pertukaran kepada penarikan pasukan Israel dari beberapa kawasan di selatan Lebanon serta penghentian serangan udara.

Bagaimanapun, Hezbollah menegaskan bahawa senjata mereka adalah untuk mempertahankan negara dan bukan bertujuan untuk konflik dalaman.

Qassem menambah sebarang rundingan pelucutan senjata hanya boleh dibincangkan selepas Israel menghentikan semua bentuk serangan dan menarik balik tenteranya.

“Senjata kami adalah kekuatan pertahanan Lebanon, bukan alat untuk perbalahan domestik,” katanya.

Beliau turut menyelar utusan khas AS, Tom Barrack, yang didakwanya terlalu memihak kepada keselamatan Israel tanpa mempedulikan kestabilan Lebanon.

“Amerika mahu kami serahkan peluru berpandu dan dron hanya kerana ia menakutkan Israel,” ujar Qassem.

Meskipun gencatan senjata dipersetujui pada November 2024, serangan Israel ke atas wilayah Lebanon masih berterusan, mengorbankan ribuan nyawa dan mencetuskan ketegangan yang berpanjangan.

Perdana Menteri Lebanon, Nawaf Salam, dijangka memanggil mesyuarat kabinet dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pelucutan senjata serta pelaksanaan eksklusif kuasa keselamatan oleh pasukan rasmi negara.

Namun, Hezbollah tetap berpendirian tegas bahawa sebarang langkah pelucutan senjata pada ketika ini adalah tidak realistik dan akan melemahkan keupayaan pertahanan negara.

“Israel tidak akan dapat menundukkan kami, dan Lebanon tidak akan dijadikan tebusan,” tegas Qassem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN