GAZA: Agensi Pertahanan Awam Gaza menyatakan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kumpulan rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan di wilayah Gaza yang dilanda perang pada Ahad, mengorbankan 93 orang dan mencederakan ramai lagi.
Sebanyak 80 orang terbunuh apabila beberapa trak bantuan tiba di bahagian utara, manakala sembilan lagi dilaporkan ditembak berhampiran pusat bantuan di Rafah, selatan Gaza, di mana puluhan nyawa terkorban hanya 24 jam sebelum itu.
Empat lagi maut berhampiran lokasi bantuan lain di Khan Younis, juga di selatan Gaza, menurut jurucakap agensi itu, Mahmud Basal, kepada AFP.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB pula melaporkan konvoi mereka yang terdiri daripada 25 buah trak yang membawa bantuan makanan “bertembung dengan orang ramai yang kelaparan dan menjadi sasaran tembakan” berhampiran Bandar Gaza, sejurus selepas memasuki wilayah itu dari Israel dan melepasi sekatan tentera.
Pihak tentera Israel menafikan angka korban dan menyatakan tentera mereka hanya melepaskan tembakan amaran “bagi menghapuskan ancaman segera terhadap mereka” ketika ribuan orang berhimpun di sekitar Bandar Gaza.
Kematian orang awam yang sedang mencari bantuan kini menjadi perkara biasa di Gaza, dengan pihak berkuasa tempatan menyalahkan tembakan dari tentera Israel, tatkala ribuan penduduk yang berdepan kekurangan makanan dan keperluan asas lain berpusu-pusu ke pusat bantuan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memaklumkan bahawa hampir 800 orang yang sedang mencari bantuan telah terbunuh sejak akhir Mei, termasuk yang berada di laluan konvoi bantuan.
Seorang penduduk, Qasem Abu Khater, 36 tahun, memberitahu AFP dia bergegas untuk mendapatkan satu beg tepung, namun mendapati dirinya berada di tengah-tengah lautan manusia yang sesak dan terdesak, serta keadaan tolakan dan himpitan yang mengancam nyawa.
“Kereta kebal melepaskan peluru secara rawak ke arah kami, dan penembak tepat Israel menembak seolah-olah mereka sedang memburu haiwan di dalam hutan.
“Berpuluh-puluh orang syahid betul-betul di depan mata saya, dan tiada siapa yang mampu menyelamatkan sesiapa.
“Kami hanya cuba dapatkan makanan, kenapa tembak kami seperti binatang?,” katanya.










