Junta Myanmar tamatkan perintah darurat, buka laluan pilihan raya

Junta Myanmar tamatkan perintah darurat, buka laluan pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYITAW: Pihak tentera Myanmar secara rasmi menamatkan perintah darurat yang berkuat kuasa lebih empat tahun sejak rampasan kuasa, sekali gus membuka jalan kepada pelaksanaan pilihan raya yang dijanjikan akan berlangsung hujung tahun ini.

Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara, meskipun negara Asia Tenggara itu masih bergelut dengan perang saudara yang berlarutan.

Mengikut Perlembagaan Myanmar 2008, pilihan raya hanya boleh diadakan selepas perintah darurat ditamatkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Junta, Jeneral Min Aung Hlaing turut mengumumkan pembentukan sebuah kerajaan baharu yang terdiri daripada 30 anggota, dikenali sebagai ‘Kerajaan Kesatuan’, serta melantik pembantunya, Nyo Saw, sebagai Perdana Menteri.

Langkah ini dibuat ketika pihak tentera menghadapi tekanan hebat daripada kemerosotan ekonomi dan tentangan semakin sengit daripada kumpulan bersenjata pro-demokrasi.

Kali terakhir majlis tersebut bersidang adalah pada Januari lalu, di mana ia memutuskan untuk melanjutkan perintah darurat sehingga 31 Julai dengan alasan keperluan mengekalkan kestabilan bagi menjamin pilihan raya umum yang bebas dan adil.

Namun, kerajaan Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) tetap menganggap sebarang pilihan raya anjuran junta sebagai tidak sah.

Awal minggu ini, pihak tentera menggubal satu undang-undang baharu kononnya untuk melindungi proses pilihan raya daripada ‘sabotaj’, termasuk memperkenalkan hukuman mati bagi sesiapa yang mengganggu perjalanan pilihan raya.

Aung Hlaing sebelum ini mendakwa pilihan raya 2020 yang dimenangi oleh pemimpin awam dan ikon pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi dicemari dengan penipuan, justifikasi utama yang digunakan oleh pihak tentera untuk merampas kuasa.

Dalam sepucuk surat kepada Presiden AS, Donald Trump yang dihantar awal Julai lalu, Aung Hlaing menyamakan situasi di negaranya dengan dakwaan palsu Trump mengenai penipuan pilihan raya di AS pada 2020, dan menyatakan kedua-dua mereka adalah mangsa pilihan raya yang dicurangi.

Selain isu rampasan kuasa, AS dan beberapa kerajaan serantau turut menuduh Myanmar menjadi lokasi beroperasinya kompaun penipuan yang dikendalikan oleh sindiket jenayah siber berasaskan kripto dan didorong oleh buruh paksa.

Pada Mei lalu, Washington mengenakan sekatan terhadap sebuah militia yang dikaitkan dengan junta kerana menyokong penipuan siber berskala industri yang dikatakan sudah merugikan berbilion dolar wang warga AS.

Dalam satu majlis rasmi di ibu negara Naypyitaw pada 30 Julai, Aung Hlaing menyatakan negara kini memasuki ‘fasa kedua’.

“Jika pada permulaan babak kedua ini kita menulisnya dengan baik, indah dan jujur dengan tangan kita sendiri serta melaksanakannya dengan jayanya, saya percaya kita mampu mengatasi lebih banyak cabaran,” katanya dalam kenyataan rasmi kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×