Israel, AS tarik balik delegasi dari rundingan gencatan senjata Gaza

Israel, AS tarik balik delegasi dari rundingan gencatan senjata Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah menarik balik delegasi masing-masing dari rundingan gencatan senjata Gaza bagi tujuan rundingan dalaman pada Khamis, menuduh pejuang Palestin, Hamas gagal bekerjasamaaW baik dalam rundingan tersebut.

Langkah itu merupakan tamparan terbaharu terhadap usaha mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik di Gaza, membebaskan tebusan Israel yang ditahan Hamas serta meredakan penderitaan kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu.

Utusan AS Steve Witkoff berkata, para perantara telah berusaha sedaya upaya, namun mendakwa Hamas kelihatan tidak terkoordinasi dan tidak menunjukkan sikap ikhlas.

“Kami kini akan mempertimbangkan pilihan alternatif untuk membawa pulang tebusan serta mewujudkan persekitaran yang lebih stabil untuk rakyat Gaza,” tulisnya di platform X.

Hamas dalam kenyataan balas menyatakan terkejut dengan dakwaan tersebut sambil menegaskan bahawa pendirian mereka sebelum ini telah disambut baik oleh pihak perantara dan membuka ruang untuk mencapai perjanjian menyeluruh.

“Pergerakan ini menegaskan komitmennya untuk meneruskan rundingan dan terlibat secara positif demi mengatasi halangan serta mencapai perjanjian gencatan senjata yang kekal,” kata Hamas dalam kenyataan awal pagi Jumaat.

Seorang pegawai Israel yang mempunyai maklumat mengenai rundingan tersebut berkata, respons Hamas terhadap cadangan terkini tidak memungkinkan sebarang kemajuan tanpa konsesi daripada pihak mereka, namun Israel tetap berhasrat meneruskan perbincangan.

Kedua-dua pihak Israel dan Hamas kini berdepan tekanan hebat di peringkat domestik dan antarabangsa agar segera mencapai persetujuan susulan hampir dua tahun perang yang telah menjejaskan kehidupan di Gaza dan menimbulkan kebimbangan rakyat Israel terhadap nasib tebusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN