TEHERAN: Iran memberi amaran pihaknya akan memberikan tindak balas yang lebih agresif sekiranya diserang lagi oleh Amerika Syarikat (AS) atau Israel.
Amaran itu disuarakan oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang sebelum ini mengancam untuk menghapuskan program nuklear Republik Islam itu sekiranya ia meneruskan aktiviti atomnya selepas serangan udara AS bulan lalu.
“Jika pencerobohan diulangi, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas dengan lebih tegas dan dengan cara yang mustahil untuk disembunyikan,” kata Araghchi dalam satu hantaran di platform X.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya terdapat kebimbangan terhadap potensi program nuklear Iran diseleweng ke arah tujuan ketenteraan, pilihan ketenteraan telah terbukti gagal tetapi penyelesaian melalui rundingan mungkin berhasil.
Setakat ini, tahap kerosakan akibat serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear Iran masih belum diketahui.
Serangan itu dilancarkan selepas Israel menjalankan kempen pengeboman mengejut dengan alasan mahu menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
“Tiada siapa yang waras akan meninggalkan hasil pelaburan besar dalam teknologi buatan tempatan yang aman hanya kerana ugutan kuasa asing,” tambah Araghchi. -AGENSI










