IDF akui Hamas belum tewas, seru gencatan senjata jangka panjang di Gaza - Utusan Malaysia

IDF akui Hamas belum tewas, seru gencatan senjata jangka panjang di Gaza

TENTERA Israel mengawal kedudukan berhampiran sempadan dengan Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menerusi Ketua Turusnya, Jeneral Eyal Zamir buat pertama kali mengakui kumpulan Hamas masih belum dapat ditewaskan sepenuhnya meskipun operasi ketenteraan berlarutan hampir dua tahun di Genting Gaza.

Dalam satu mesyuarat strategik yang diadakan di pangkalan tentera Gililot yang turut dihadiri oleh pegawai kanan dan komander operasi IDF, Jeneral Zamir menggesa supaya satu gencatan senjata jangka panjang dilaksanakan di Gaza, sambil menyifatkan tentera Israel kini memerlukan “jeda operasi” setelah terlalu lama terlibat dalam pertempuran tanpa henti sejak 7 Oktober 2023.

Beliau turut memaklumkan keputusan untuk meneruskan serangan di Gaza adalah arahan kepimpinan politik yang dibuat pada awal tahun ini, namun menegaskan tahun 2026 perlu dijadikan tahun pemulihan dan pemerkasaan semula keupayaan ketenteraan IDF.

“Kita telah dua tahun berturut-turut tidak melaksanakan latihan tembakan besar-besaran, terutama di bahagian utara. Ini menjejaskan tahap kesiapsiagaan kita secara langsung,” kata beliau sambil menambah tumpuan kini perlu dikembalikan kepada asas ketenteraan dan persiapan pertahanan.

Laporan penilaian tahunan IDF turut menyatakan konflik di Gaza yang kini menjadi konflik paling lama sejak Perang Kepungan (War of Attrition) masih belum menunjukkan keputusan yang tuntas.

Walaupun beberapa kejayaan ketenteraan dicapai di darat, termasuk di kawasan Rafah, namun Hamas masih mampu bertahan dan meneruskan penentangan.

Laporan itu turut memberi amaran sebarang penarikan tentera dari kawasan “paksi Morag” berpotensi membuka ruang untuk pejuang Hamas kembali menguasai wilayah yang sebelum ini ditawan oleh Israel.

Jeneral Zamir, yang mula memegang jawatan Ketua Turus Umum pada Mac lalu, sebelum ini merancang untuk melaksanakan pelan pemodenan tentera jangka panjang namun, pelan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan operasi berterusan di Gaza yang disambung semula sejak awal tahun ini.

Beliau turut memberi amaran meneruskan kempen ketenteraan tanpa hala tuju strategik yang jelas serta tanpa sokongan awam yang kukuh akan menjadi cabaran besar kepada keberkesanan IDF.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar taktik ketenteraan semasa dikaji semula serta objektif operasi tentera di Gaza dinilai kembali secara menyeluruh demi memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan jangka panjang pasukan pertahanan negara itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN