Hujan lebat, tanah runtuh di Beijing ragut puluhan nyawa

Hujan lebat, tanah runtuh di Beijing ragut puluhan nyawa

KEADAAN banjir di Beijing yang meragut puluhan nyawa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Hujan lebat yang melanda ibu kota China, Beijing meragut lebih 30 nyawa dan memaksa pihak berkuasa memindahkan 80,000 penduduk, menurut media kerajaan pada Selasa.

Hujan ribut yang melanda beberapa kawasan di utara China minggu ini, termasuk Beijing serta wilayah Hebei, Jilin dan Shandong.

“Gelombang terbaharu hujan lebat menyebabkan 30 kematian di Beijing setakat tengah malam Isnin,” lapor agensi berita rasmi Xinhua, memetik Pusat Kawalan Banjir Perbandaran Beijing.

Menurut portal tempatan Beijing Daily, lebih 80,000 orang dipindahkan dari Beijing akibat hujan yang tidak henti dan melampau yang mencetuskan bencana besar.

Kawasan paling teruk terjejas adalah daerah Miyun, yang terletak di timur laut pusat bandar, diikuti daerah Huairou di utara dan Fangshan di barat daya Beijing.

Lebih 130 buah kampung juga dilaporkan terputus bekalan elektrik, manakala puluhan jalan raya turut ditutup akibat bencana tersebut.

“Sila beri perhatian kepada ramalan dan amaran cuaca serta elakkan pergi ke kawasan berisiko melainkan perlu,” kata Beijing Daily dalam media sosial.

Presiden China, Xi Jinping, lewat Isnin menggesa pihak berkuasa bersiap siaga menghadapi situasi terburuk dan mempercepatkan pemindahan penduduk di kawasan yang terancam banjir.

Sementara itu, di wilayah Hebei yang mengelilingi Beijing, kejadian tanah runtuh di sebuah kampung berhampiran bandar Chengde mengorbankan empat orang, manakala lapan lagi masih hilang, menurut saluran penyiaran CCTV pada Isnin.

China kerap mengalami bencana alam, terutamanya pada musim panas dengan sebahagian wilayah dihujani lebat, manakala yang lain pula mengalami gelombang haba ekstrem.

China, pengeluar gas rumah hijau terbesar dunia, kini berusaha mengurangkan pelepasan karbon dan menyasarkan ekonomi neutral karbon menjelang 2060, walaupun cuaca ekstrem semakin kerap dan teruk akibat perubahan iklim.

Bulan ini, banjir kilat di wilayah Shandong turut meragut dua nyawa dan menyebabkan 10 lagi hilang, manakala tanah runtuh di lebuh raya wilayah Sichuan membunuh lima orang selepas beberapa kenderaan dihanyutkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN