KAHERAH: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengakui ramai penduduk di Gaza alami kebuluran dan mencadangkan Israel mempertingkatkan akses kemanusiaan sehari selepas negara haram itu mengumumkan langkah memperbaiki bekalan bantuan.
Ketika jumlah kematian akibat perang dua tahun di Gaza menghampiri 60,000, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan peningkatan kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, dengan imej kanak-kanak kebuluran mengejutkan masyarakat dunia.
Trump menyifatkan kebuluran di Gaza sebagai sesuatu yang nyata, sekali gus bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyatakan tiada kebuluran di wilayah itu pada Ahad.
Bagaimanapun, Netanyahu kemudiannya mengakui keadaan di Gaza adalah ‘sukar’ sambil menegaskan Israel sedang berusaha memastikan penghantaran bantuan ke wilayah yang dikepung itu.
“Israel akan terus bekerjasama dengan agensi antarabangsa serta AS dan negara-negara Eropah untuk memastikan bantuan kemanusiaan dalam jumlah besar dapat disalurkan ke Gaza,” menurut kenyataan pejabat Netanyahu.
Bercakap ketika lawatan ke Scotland, Trump berkata Israel memikul tanggungjawab besar dalam aliran bantuan dan ramai nyawa boleh diselamatkan.
“Ada ramai yang kelaparan. Kami akan menubuhkan pusat makanan,” kata Trump, sambil menambah pusat itu akan dibuka tanpa pagar atau sempadan bagi memudahkan akses.
Beliau berkata AS akan bekerjasama dengan negara lain bagi menyediakan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza, termasuk makanan dan kemudahan sanitasi.
Jurucakap Rumah Putih memaklumkan butiran lanjut mengenai pusat makanan itu akan diumumkan kelak.
Pada Isnin, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 14 kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam sebelumnya, menjadikan jumlah kematian akibat kelaparan mencecah 147 orang termasuk 88 kanak-kanak.
Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan keperluan bantuan jangka panjang dan berterusan manakala Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan bahawa hanya 60 buah trak bantuan telah dihantar dan masih jauh dari sasaran.
Menurut WFP, hampir 470,000 penduduk Gaza kini hidup dalam keadaan seakan-akan kebuluran, dengan 90,000 wanita dan kanak-kanak memerlukan rawatan pemakanan khas.
“Sasaran kami sekarang ialah menghantar 100 trak ke Gaza setiap hari,” kata Pengarah Serantau WFP bagi Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah Timur, Samer AbdelJaber kepada Reuters. – AGENSI










