AZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas menyeru para pemimpin negara Arab dan Islam mengambil satu pendirian bersejarah dengan memecahkan sekatan yang dikenakan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza serta menamatkan kebuluran buatan manusia yang sedang melanda wilayah itu.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi saluran Telegram rasmi pada Selasa, Hamas menegaskan keadaan kebuluran di Gaza telah memasuki fasa yang amat membimbangkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini, susulan penutupan total yang telah berlarutan selama lima bulan oleh Israel.
Menurut kenyataan tersebut, hampir 100 orang awam termasuk 80 kanak-kanak telah maut akibat kekurangan zat makanan, selain lebih 1,000 rakyat Gaza yang kebuluran telah ditembak mati oleh tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Hamas turut mengecam sikap membisu negara-negara Arab yang disifatkan sebagai terlalu lemah dan jauh daripada memadai berbanding skala bencana yang sedang dihadapi oleh lebih dua juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
“Diam seribu bahasa daripada pemimpin umat amat mengecewakan rakyat kami yang tertindas, malah ia memberi galakan kepada penjenayah perang, (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu untuk meneruskan dasar kelaparan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Rakyat kami sedang kelaparan dan kehausan, sedangkan ribuan trak bantuan terkandas di sebelah Mesir di lintasan Rafah, sementara kerajaan penjajah Israel terus melaksanakan mekanisme jenayah yang sengaja mematikan dan menghina demi mengurus kebuluran,” kata kenyataan tersebut.
Hamas turut menyelar kegagalan dunia Islam melaksanakan ketetapan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang berlangsung di Riyadh pada November 2023.
Justeru, kumpulan itu menggesa agar satu pendirian tegas dan bersejarah diambil segera dengan mengaktifkan segala bentuk tekanan diplomatik dan politik untuk memecahkan sekatan Israel serta membenarkan kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tanpa halangan. -AGENSI










