Gaza alami kebuluran akibat tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab- WHO - Utusan Malaysia

Gaza alami kebuluran akibat tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab- WHO

KANAK-kanak Palestin beratur sambil memegang periuk untuk menerima makanan dari dapur amal di Bandar Gaza, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberi amaran keras bahawa penduduk Palestin di Gaza kini menghadapi “kebuluran besar-besaran” akibat sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

“Ramai ibu bapa memberitahu kami bahawa anak-anak mereka tidur dalam kelaparan dan tangisan,” kata Tedros dalam satu sidang media pada hari Rabu. “Tapak pengagihan makanan kini menjadi lokasi keganasan.”

Apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan lebih 100 organisasi bantuan minggu ini mengenai Gaza sedang mengalami kebuluran besar-besaran, beliau memberikan jawapan yang tegas dan jelas.

“Kebuluran besar-besaran bermaksud sebahagian besar populasi sedang kebuluran. Dan memang itulah yang sedang berlaku di Gaza.

“Saya tidak tahu apa lagi istilah yang sesuai selain daripada ‘kebuluran besar-besaran’. Ia berpunca daripada tindakan manusia dan itu sangat jelas,” katanya.

Tedros menekankan sekatan ke atas Gaza adalah punca utama krisis kemanusiaan ini, dan walaupun beberapa laluan bantuan kini dibuka, jumlah bantuan yang sampai masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.

“Apa yang sampai hanya sedikit dan orang ramai kebuluran. Saya tidak faham kenapa kita masih mahu berdebat soal istilah,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Tedros turut mengulas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh sejak akhir Mei ketika cuba mendapatkan bantuan makanan.

Sebahagian besar kematian itu dilaporkan berlaku di tapak agihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) – sebuah organisasi yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, GHF menafikan dakwaan tersebut dalam kenyataan kepada CNN dan menyifatkan statistik PBB sebagai “palsu dan keterlaluan.”

Sementara itu, pihak berkuasa Israel menyalahkan Hamas atas krisis kebuluran yang melanda Gaza, menuduh kumpulan itu menyekat pengagihan bantuan kepada rakyat awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN