RAWALPINDI: Polis Pakistan hari ini memaklumkan seorang bapa menembak mati anak perempuannya selepas gadis itu enggan memadam akaun aplikasi perkongsian video popular, TikTok.
“Bapa gadis itu telah memintanya memadam akaun TikTok. Apabila dia enggan, bapanya membunuhnya,” kata jurucakap polis kepada AFP.
Menurut laporan polis yang dikongsikan kepada AFP, pihak penyiasat menyatakan bapa mangsa membunuh anak perempuannya yang berusia 16 tahun pada hari Selasa atas alasan “maruah keluarga”.
Suspek kini sudah ditangkap.
Keluarga mangsa pada awalnya cuba menggambarkan pembunuhan itu sebagai kes bunuh diri, menurut polis di bandar Rawalpindi, lokasi kejadian yang terletak berhampiran ibu negara Islamabad.
Bulan lalu, seorang gadis berusia 17 tahun yang juga pempengaruh TikTok dengan ratusan ribu pengikut dalam talian turut dibunuh di rumah oleh seorang lelaki selepas dia menolak lamaran lelaki berkenaan.
Sana Yousaf telah mengumpul lebih sejuta pengikut di media sosial termasuk TikTok, tempat dia sering berkongsi video mengenai kafe kegemarannya, produk penjagaan kulit dan pakaian tradisional.
TikTok sangat popular di Pakistan, sebahagiannya kerana mudah diakses oleh populasi yang mempunyai kadar celik huruf rendah.
Ramai wanita menjadikan platform ini sebagai medium menjana pendapatan dan menarik penonton, sesuatu yang jarang berlaku di negara di mana kurang daripada satu perempat wanita terlibat dalam ekonomi formal.
Namun begitu, hanya 30 peratus wanita di Pakistan memiliki telefon pintar berbanding 58 peratus lelaki – jurang gender terbesar di dunia menurut Laporan Jurang Gender Mudah Alih 2025.
Pihak berkuasa telekomunikasi Pakistan berulang kali menyekat atau mengancam untuk menyekat aplikasi tersebut atas alasan “kelakuan tidak bermoral”, terutamanya berkaitan kandungan LGBTQ dan seksual.










