NEW YORK: Seorang lelaki bersenjata yang menembak mati empat orang sebelum membunuh diri di sebuah bangunan pencakar langit di Manhattan dipercayai menyasarkan Liga Bola Sepak Amerika (NFL) kerana menyalahkan organisasi itu atas kecederaan otak yang didakwanya dialami.
Menurut Datuk Bandar New York, Eric Adams, nota tulisan tangan tiga muka surat yang ditemui dalam dompet suspek menunjukkan dia merasakan dirinya menghidap Chronic traumatic encephalopathy (CTE), iaitu kecederaan otak yang biasa dialami oleh mereka yang terbabit dalam sukan lasak.
“Kajilah otak saya. Maafkan saya.
“Bola sepak telah menyebabkan saya mengalami CTE dan memaksa saya untuk minum segelen cecair antibeku. Anda tidak boleh menentang NFL. Mereka akan hancurkan anda,” tulisnya lagi.
Suspek dikenali sebagai Shane Tamura, 27 tahun, turut meminta otaknya dikaji untuk penyakit CTE serta menuduh liga tersebut menyembunyikan bahaya kepada otak pemain demi mengaut keuntungan.
Dengan bersenjatakan raifal separa automatik, Tamura menembak seorang pegawai polis di luar bangunan di Park Avenue, sebelum melepaskan tembakan dalam lobi dan cuba memasuki pejabat NFL.
Menurut Adams, Tamura tidak pernah bermain untuk liga profesional tertinggi itu, namun pernah menjadi bintang bola sepak di peringkat sekolah menengah di California.
Insiden itu mencetuskan respons besar-besaran daripada pihak polis di tengah-tengah kesibukan kota New York tidak jauh dari lokasi kejadian tembakan Disember lalu apabila seorang lelaki membunuh CEO syarikat insurans kesihatan UnitedHealthcare, Brian Thompson.
Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch, dalam satu sidang media mengesahkan Tamura mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.
Presiden, Donald Trump dalam kenyataannya menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan ganas yang tidak masuk akal oleh seorang individu yang gila.
Pihak berkuasa memaklumkan, suspek memandu dari Nevada dan berhenti di hadapan bangunan tersebut dengan menaiki BMW hitam sambil membawa raifal.
Tembakan pertama mengenai seorang pegawai polis yang maut di tempat kejadian, sebelum Tamura menembak rambang ke arah lobi.
Seorang wanita awam dan pengawal keselamatan turut terkena tembakan.
“Pengawal tidak sempat menekan butang panik untuk menghentikan lif dan mati dtembak ketika cuba bersembunyi di belakang kaunter. Suspek kemudiannya menaiki lif ke tingkat atas,” jelas Adams.
Seorang kakitangan NFL antara mangsa yang ditembak dan kini dirawat di hospital dalam keadaan serius tetapi stabil, kata Pesuruhjaya NFL Roger Goodell dalam kenyataan kepada kakitangan liga tersebut.
Namun menurut Adams, walaupun sasarannya adalah pejabat NFL, Tamura tersalah menaiki lif dan akhirnya tiba di tingkat 33 yang menempatkan pejabat pengurusan bangunan.
Di situ, Tamura menembak mati seorang individu sebelum membunuh diri dengan menembak dadanya sendiri.
Adams turut mengesahkan pegawai polis yang terbunuh dalam insiden itu adalah warga Bangladesh berusia 36 tahun.










