Dua anggota bomba maut dalam serangan hendap, suspek dikenal pasti - Utusan Malaysia

Dua anggota bomba maut dalam serangan hendap, suspek dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IDAHO: Pihak berkuasa di utara Idaho telah mengenal pasti suspek dalam serangan hendap yang meragut nyawa dua anggota bomba sebagai Wess Roley, 20 tahun, seorang gelandangan tanpa sebarang rekod jenayah lampau.

Kejadian tragis itu berlaku berhampiran kawasan Gunung Canfield, apabila Roley dipercayai sengaja menyalakan kebakaran hutan untuk memancing pasukan bomba ke lokasi sebelum melepaskan tembakan. Seorang lagi anggota bomba turut cedera dalam insiden tersebut.

Menurut Sheriff Daerah Kootenai, Bob Norris, pasukan penyelamat diserang secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, mencetuskan pertempuran bersenjata yang berlanjutan selama beberapa jam.

Roley akhirnya ditemui mati akibat tembakan sendiri. Di lokasi kejadian, pihak berkuasa menemui senapang jenis pump-action bersama peluru jenis slug. Setakat ini, tiada bukti menunjukkan kaitan suspek dengan mana-mana kumpulan ekstremis.

Ironiknya, Roley pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi anggota bomba. Datuknya menggambarkan dia sebagai seorang yang menghormati pihak berkuasa dan menyanjung tinggi jasa anggota penyelamat.

Identiti dua anggota bomba yang terkorban masih belum diumumkan secara rasmi.

Seorang daripada mereka merupakan anggota Jabatan Bomba Coeur d’Alene, manakala seorang lagi dari Kootenai County.

Mangsa ketiga yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian ini mengejutkan komuniti setempat dan mencetuskan gesaan agar keselamatan petugas barisan hadapan dipertingkatkan. Lebih 300 pegawai dari pelbagai agensi telah dikerahkan dalam tindak balas terhadap insiden ini.

“Ini adalah satu serangan yang dirancang. Mereka tidak diberi peluang langsung untuk menyelamatkan diri,” kata Sheriff Norris.

Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk menyelidik kemungkinan suspek menghadapi isu kesihatan mental. Sementara itu, masyarakat tempatan terus berkabung atas kehilangan dua wira yang gugur semasa menjalankan tugas mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN