Bukan Hamas berdegil, Israel yang melengahkan gencatan senjata - Utusan Malaysia

Bukan Hamas berdegil, Israel yang melengahkan gencatan senjata

KANAK-kanak Palestin duduk berhampiran pintu rumah yang rosak sambil menjamah makanan di Bandar Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mohammad Mustafa menyatakan Hamas sedang “melakukan yang terbaik” untuk menamatkan perang di Gaza, namun halangan sebenar bagi mencapai penyelesaian konflik datang daripada Israel.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama CNN, Mustafa mendedahkan PA telah menyampaikan kepada Hamas betapa pentingnya menghentikan perang demi kepentingan rakyat Palestin. Beliau juga menekankan perlunya kerjasama antara Hamas dan Israel untuk mencari penyelesaian damai.

“Saya percaya mereka (Hamas) sedang berusaha sedaya upaya – sekurang-kurangnya berdasarkan apa yang kami faham. Mereka memberi kerjasama sebaik mungkin,” katanya kepada penyampai Christiane Amanpour.

Mustafa turut meluahkan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin kritikal di Gaza, khususnya krisis kebuluran dan kekurangan bantuan. Beliau menyalahkan sekatan ketat Israel sebagai punca utama penderitaan tersebut.

“Banyak bantuan kini menunggu di pintu masuk. Namun pintu-pintu ini ditutup oleh kerajaan Israel,” katanya sambil menggesa agar lintasan sempadan dibuka segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.

Israel bagaimanapun menafikan bertanggungjawab atas krisis itu dan menuduh Hamas sebagai pihak yang sengaja “mencipta” kekurangan bekalan makanan.

Israel juga menolak tekanan antarabangsa untuk membuka lebih banyak saluran bantuan, dengan mendakwa bahawa trak-trak bantuan sudah sedia menunggu di sempadan untuk diambil oleh agensi-agensi bantuan.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini turut menyifatkan krisis kebuluran di Gaza sebagai “kebuluran besar yang direka manusia” hasil daripada sekatan bantuan ke wilayah tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN