Brazil sertai Afrika Selatan dakwa Israel di ICJ - Utusan Malaysia

Brazil sertai Afrika Selatan dakwa Israel di ICJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Kerajaan Brazil secara rasmi mengumumkan hasratnya campur tangan dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menuduh Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Brazil pada hari Rabu, Brazil memaklumkan mereka kini berada di peringkat akhir penyediaan dokumen untuk penglibatan rasmi dalam kes tersebut.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan,” tegas kementerian itu.

Brazil menegaskan ini bukan masanya untuk bersikap tidak tegas secara moral atau mendiamkan diri demi kepentingan politik.

Menurut kenyataan itu, kekebalan daripada hukuman hanya akan melemahkan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan merosakkan kredibiliti sistem pelbagai hala dunia.

Tindakan ini sebagai sebahagian daripada gelombang sokongan yang semakin meningkat dari negara-negara bukan Barat terhadap usaha membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, yang kini berada di ambang kebuluran besar akibat sekatan berterusan.

“Kerajaan Brazil mengumumkan ia berada dalam peringkat akhir untuk mengemukakan penyertaan rasmi dalam prosiding ICJ yang dibawa oleh Afrika Selatan berdasarkan Konvensyen Genosid 1948,” menurut kenyataan itu.

Brazil turut menyatakan rasa amat dukacita terhadap siri serangan terhadap penduduk awam Palestin yang bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel.

Brazil menyertai beberapa negara lain seperti Sepanyol, Turkiye dan Ireland yang menyatakan sokongan mereka terhadap kes ini, dengan mendesak ICJ supaya mengisytiharkan Israel melanggar tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen 1948 mengenai Genosid.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, juga sebelum ini secara terbuka menuduh Israel melakukan jenayah genosid semasa sidang kemuncak BRICS, menjadikan pendirian Brazil antara yang paling tegas terhadap Israel dalam kalangan negara-negara hemisfera Barat.

Setakat ini, ICJ masih belum memutuskan secara rasmi sama ada Israel telah melakukan jenayah genosid.

Namun, pada Januari 2024, mahkamah telah memerintahkan Israel agar mengambil langkah konkrit bagi mencegah sebarang bentuk genosid, termasuk dengan memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN