WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, menegaskan pentadbiran Presiden Donald Trump mengutamakan kualiti perjanjian berbanding mengejar tarikh akhir rundingan.
Kenyataan itu dibuat ketika beberapa negara berlumba mengelakkan pelaksanaan tarif baharu yang tinggi, dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.
“Kami tidak akan tergesa-gesa untuk memeterai perjanjian,” kata Bessent kepada CNBC.
Ketika ditanya sama ada tarikh akhir itu boleh dilanjutkan bagi negara yang berunding, beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada Trump.
“Jika kita kembali semula kepada tarif pada 1 Ogos, saya berpendapat kadar tarif lebih tinggi akan memberi tekanan kepada negara-negara tersebut untuk tampil dengan perjanjian yang lebih baik,” katanya.
Trump menggemparkan pasaran global dengan ancaman tarif besar-besaran yang menyasarkan kebanyakan rakan dagang utama AS.
Namun, pentadbirannya masih gagal memeterai perjanjian dengan banyak negara, termasuk India, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.
Diplomat EU memaklumkan, blok tersebut mempertimbangkan langkah balas meluas berikutan prospek perjanjian yang semakin suram.
Jerman dan beberapa negara EU lain menilai penggunaan alat ‘anti paksaan’ yang boleh mengehadkan akses AS kepada tender awam atau menyasarkan perkhidmatan tertentu.
Mengulas mengenai China, Bessent berkata, rundingan akan disambung semula dalam masa terdekat.
Katanya, perbincangan akan datang mungkin menumpukan kepada pembelian berterusan China terhadap minyak Iran dan Russia.










