AS dakwa Iran rancang letak periuk api di Selat Hormuz - Utusan Malaysia

AS dakwa Iran rancang letak periuk api di Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tentera Iran didakwa memuatkan periuk api laut ke dalam sebuah kapal tentera di Teluk Parsi bulan lalu, mencetuskan kebimbangan baharu di Washington bahawa Teheran bersiap sedia untuk menyekat Selat Hormuz.

Menurut pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dinamakan, tindakan tersebut dikesan selepas Israel melancarkan serangan peluru berpandu pertama ke Iran pada 13 Jun lalu.

Walaupun sumber tidak mendedahkan secara terperinci bagaimana maklumat itu diperoleh, ia dipercayai hasil gabungan imej satelit dan maklumat perisikan rahsia.

Setakat ini, periuk api tidak pernah digunakan secara aktif di Selat Hormuz. Namun, tindakan terbaru ini dilihat sebagai petanda bahawa Iran serius mempertimbangkan penutupan laluan sempit tersebut, yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak dan gas dunia.

Kira-kira 20 peratus daripada penghantaran minyak dan gas dunia melalui Selat Hormuz. Sebarang sekatan berpotensi menjejaskan bekalan tenaga global dan melonjakkan harga pasaran. Walaupun begitu, harga penanda aras minyak dunia mencatat kejatuhan lebih 10 peratus sejak serangan udara AS terhadap kemudahan nuklear Iran.

Pada 22 Jun lalu, Parlimen Iran menyokong satu usul untuk menyekat Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap tindakan AS yang mengebom tiga tapak nuklear utama negara itu. Namun, usul tersebut tidak mempunyai kuasa undang-undang, dan keputusan akhir terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dan Oman hanya selebar 34 kilometer di bahagian tersempit, dengan laluan perkapalan keluar dan masuk masing-masing hanya dua kilometer lebar.

Negara-negara pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Iraq menggunakan laluan ini untuk mengeksport sebahagian besar minyak mentah mereka, kebanyakannya ke pasaran Asia. Qatar, salah satu pengeksport gas asli cecair (LNG) terbesar dunia, turut menghantar hampir keseluruhan bekalannya melalui selat ini.

Iran sendiri bergantung kepada laluan ini untuk mengeksport minyak mentahnya, sekali gus menjadikan ancaman untuk menyekat selat itu sebagai langkah yang turut membawa risiko kepada ekonomi negara sendiri.

Namun begitu, laporan perisikan menunjukkan bahawa Tehran telah melabur sumber yang besar bagi memastikan mereka berupaya menutup Selat Hormuz sekiranya konflik semakin memuncak dan dianggap perlu oleh kepimpinan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN