PARIS: Amnesty International pada hari Khamis mendedahkan Iran melancarkan peluru berpandu yang membawa bom kluster terhadap Israel dalam konflik yang berlaku antara kedua-dua negara pada bulan Jun, sekali gus membahayakan nyawa orang awam.
“Bulan lalu, pasukan Iran telah menembak peluru berpandu balistik yang membawa kepala peledak mengandungi submunisi ke kawasan kediaman yang berpenduduk di Israel,” kata organisasi hak asasi manusia itu berdasarkan penyelidikan terbaharu.
Amnesty menyatakan mereka telah menganalisis foto dan video yang menunjukkan penggunaan bom kelompok, yang menurut laporan media, mengenai kawasan metropolitan Gush Dan di sekitar Tel Aviv pada 19 Jun.
Selain itu, bandar selatan Beersheba pada 20 Jun dan Rishon LeZion di selatan Tel Aviv pada 22 Jun juga “dikenakan serangan menggunakan senjata yang meninggalkan kesan kawah letupan konsisten dengan submunisi seperti yang dilihat di Gush Dan,” kata Amnesty.
“Dengan menggunakan senjata seperti itu di dalam atau berhampiran kawasan kediaman berpenduduk, pasukan Iran telah membahayakan nyawa orang awam,” ujar Erika Guevara Rosas, pengarah kanan di Amnesty International.
“Penggunaan senjata yang secara asasnya tidak tepat oleh pasukan Iran merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Bom kluster meletup di udara dan menyebarkan bom kecil (bomblets).
Sebahagian daripadanya tidak meletup serta-merta dan boleh mengakibatkan kecederaan atau kematian kemudian hari, khususnya kepada kanak-kanak.
Iran dan Israel bukan antara lebih 100 negara yang menandatangani Konvensyen 2008 Mengenai Bom Kluster, yang melarang penggunaan, pemindahan, pengeluaran dan penyimpanan senjata tersebut.
Amnesty menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa “melarang penggunaan senjata yang tidak tepat secara asas, dan melancarkan serangan secara rawak yang membunuh atau mencederakan orang awam adalah satu jenayah perang.”
Israel dan Iran terlibat dalam perang selama 12 hari yang tercetus pada 13 Jun selepas kempen pengeboman oleh Israel.
Israel mendakwa serangan tersebut bertujuan menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear, sesuatu yang telah berulang kali dinafikan oleh Teheran.










