Aktivis bot bantuan ke Gaza lancar mogok lapar - Utusan Malaysia

Aktivis bot bantuan ke Gaza lancar mogok lapar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Lebih sedozen aktivis yang ditahan oleh Israel selepas bot bantuan mereka dipintas dalam perjalanan ke Gaza melancarkan mogok lapar pada Isnin sebagai bantahan terhadap penahanan mereka, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang memberi bantuan guaman.

Sekurang-kurangnya lima daripada 21 penumpang kapal Freedom Flotilla bernama Handala telah bersetuju untuk dihantar pulang selepas bot mereka dipintas dan dinaiki oleh tentera laut Israel ketika cuba memecahkan sekatan ketenteraan ke atas wilayah Palestin yang dilanda perang itu.

Kumpulan bantuan guaman Adalah berkata, perbicaraan telah selesai di Penjara Givon berhubung penahanan berterusan terhadap 14 sukarelawan yang enggan menerima proses penghantaran pulang segera.

“Semasa perbicaraan, para sukarelawan menegaskan bahawa misi mereka adalah kemanusiaan, digerakkan oleh keperluan untuk menentang sekatan haram Israel dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza,” menurut kenyataan Adalah.

Seorang aktivis dari Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengalami keganasan fizikal yang teruk oleh pasukan Israel manakala yang lain mengadu ditahan dalam keadaan yang buruk, tambah kenyataan itu.

“Para aktivis memberitahu tribunal bahawa mereka kekal menjalani mogok lapar sebagai protes terhadap penahanan yang tidak sah,” kata Adalah lagi.

Tribunal kemudiannya membuat keputusan untuk mengekalkan penahanan terhadap 14 sukarelawan tersebut.

Israel menganggap kes mereka sebagai pelanggaran imigresen, namun Adalah menegaskan tindakan itu tidak sah memandangkan mereka dibawa masuk ke Israel secara paksa dari perairan antarabangsa.

Kesemua 21 penumpang Handala berasal dari 10 negara berbeza, termasuk dua ahli parlimen Perancis dan dua wartawan Al Jazeera.

Adalah memaklumkan sekurang-kurangnya seorang ahli parlimen, dua wartawan dan dua penumpang lain telah pun dalam perjalanan keluar dari negara itu.

Dua penumpang yang merupakan warganegara Israel-AS telah dibebaskan selepas disoal siasat, menurut organisasi tersebut.

Sebelum ini, sebuah lagi kapal Freedom Flotilla bernama Madleen turut dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada 9 Jun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN