BALI: Sekurang-kurangnya 61 orang dilaporkan hilang selepas sebuah feri karam berhampiran pulau peranginan terkenal Indonesia, Bali, menurut agensi mencari dan menyelamat tempatan pada hari Khamis.
Feri tersebut karam sekitar pukul 11:20 malam waktu tempatanpada hari Rabu di Selat Bali ketika ia dalam perjalanan ke destinasi percutian terkenal itu dari pulau utama Indonesia, Jawa, menurut kenyataan agensi mencari dan menyelamat Surabaya.
“Data manifes feri mencatatkan seramai 53 penumpang dan 12 kru penumpang,” kata agensi yang berpangkalan di Jawa itu, sambil menambah bahawa usaha menyelamat masih diteruskan.
“Feri yang dianggarkan karam pada pukul 23:20 waktu tempatan itu juga membawa 22 kenderaan termasuk 14 buah lori,” katanya.
Agensi tersebut berkata dalam kenyataan susulan bahawa empat orang telah berjaya diselamatkan pada awal pagi Khamis.
Kemalangan laut adalah kejadian yang kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan Asia Tenggara yang terdiri daripada kira-kira 17,000 pulau, sebahagiannya disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar.
Pada bulan Mac, sebuah bot yang membawa 16 orang terbalik di perairan bergelora berhampiran Bali, mengakibatkan seorang wanita warga Australia maut dan sekurang-kurangnya seorang lagi cedera.
Pada tahun 2018, lebih daripada 150 orang lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera.










