1.52 juta penghidap kanser hati menjelang 2050

1.52 juta penghidap kanser hati menjelang 2050

JUMLAH penghidap kanser hati di seluruh dunia dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2050. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Jumlah pesakit kanser hati di seluruh dunia dijangka naik dua kali ganda menjelang tahun 2050 sekiranya punca-punca yang boleh dicegah seperti obesiti, pengambilan alkohol dan hepatitis tidak ditangani serius.

Berdasarkan data Global Cancer Observatory yang disiarkan dalam jurnal perubatan The Lancet, kes baharu kanser hati yang kini penyakit keenam paling biasa dihidapi dijangka meningkat daripada 870,000 kepada 1.52 juta kes setiap tahun jika trend semasa berterusan.

Kanser hati juga merupakan kanser ketiga paling membawa maut, dijangka meragut 1.37 juta nyawa menjelang pertengahan abad ini.

Namun begitu, tiga daripada lima kes kanser hati boleh dicegah, kata pasukan pakar antarabangsa yang menjalankan kajian tersebut.

Antara faktor risiko utama adalah pengambilan alkohol, dijangkiti virus Hepatitis B dan C serta berlaku pengumpulan lemak dalam hati akibat obesiti, dikenali sebagai MASLD (Metabolic dysfunction-Associated Steatotic Liver Disease), sebelum ini dikenali sebagai penyakit hati berlemak bukan akibat alkohol.

Kajian yang diterbitkan sempena Hari Hepatitis Sedunia itu menjelaskan hepatitis B dan C akan terus menjadi penyumbang utama kepada kanser hati menjelang 2050.

Vaksinasi sejak lahir adalah kaedah terbaik untuk mencegah hepatitis B, namun liputan vaksin masih rendah, terutama di negara-negara miskin termasuk di Afrika Sub-Sahara, menurut kajian.

Tanpa peningkatan kadar vaksinasi, hepatitis B dijangka menyebabkan 17 juta kematian antara 2015 hingga 2030.

Sementara itu, pengambilan alkohol dijangka menjadi punca kepada lebih 21 peratus kes kanser hati menjelang 2050 iaitu meningkat lebih dua mata peratusan berbanding 2022.

Kanser yang berpunca daripada lemak dalam hati akibat obesiti pula dijangka meningkat kepada 11 peratus.

Kajian berskala besar ini menekankan keperluan mendesak untuk tindakan global terhadap kanser hati.

Pakar-pakar menyeru peningkatan kesedaran awam mengenai bahaya kanser hati yang boleh dicegah, terutama dengan memberi amaran kepada individu yang mengalami obesiti atau diabetes tentang risiko penyakit hati berlemak, khususnya di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN