HANOI: Vietnam memansuhkan dasar lama yang mengehadkan keluarga untuk tidak mempunyai lebih daripada dua anak, ketika negara itu bergelut dengan kadar kelahiran yang semakin menurun.
Di bawah peraturan baharu yang diluluskan Jawatankuasa Tetap Perhimpunan Kebangsaan di Hanoi semalam, pasangan kini mempunyai hak untuk menentukan jumlah anak dan jarak masa antara kelahiran, menurut Agensi Berita Vietnam.
Undang-undang sebelum ini hanya membenarkan satu atau dua orang anak bagi setiap keluarga, kecuali dalam kes-kes khas.
Dalam amalan, dasar tersebut jarang dikuatkuasakan terhadap mereka yang bukan ahli Parti Komunis Vietnam.
Bagi ahli parti yang melanggar undang-undang itu, penalti boleh berupa amaran, pengurangan bonus atau pemecatan jawatan.
Sekatan itu diperkenalkan pada 1988, ketika kadar kesuburan melebihi empat kelahiran bagi setiap wanita.
Kadar kelahiran negara merosot ke paras terendah Disember lalu, dengan jumlah kadar kesuburan jatuh kepada 1.91 anak bagi setiap wanita, menandakan tahun ketiga berturut-turut ia menurut bawah paras penggantian.
Tahun lalu, Kementerian Kesihatan mencadangkan pindaan undang-undang untuk membolehkan setiap pasangan ibu bapa tunggal menentukan sendiri bilangan anak yang ingin dimiliki serta jarak antara kelahiran.
“Vietnam sedang dalam fasa penuaan penduduk,” menurut Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
UNFPA berkata, proses itu berkembang pesat dan peralihan daripada populasi menua kepada tua akan berlaku dalam tempoh hanya 20 tahun.-AFP










