LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengesahkan United Kingdom (UK) menggerakkan jet pejuang dan aset ketenteraan tambahan ke Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga susulan perang antara Israel dan Iran.
Starmer berkata, beliau enggan menolak kemungkinan Britain akan membantu mempertahankan Israel sekiranya negara itu terus diserang Iran meskipun Teheran memberi amaran mengenai mana-mana negara Barat yang menyokong Israel bakal menyaksikan pangkalan tenteranya menjadi sasaran.
Menurut Downing Street, pemindahan aset tersebut merangkumi penambahan jet pejuang dan pesawat pengisi bahan api ke kawasan berisiko tinggi di Asia Barat sebagai persiapan jika konflik terus memuncak.
Persiapan itu dimulakan pada pagi Jumaat selepas Israel melancarkan serangan terhadap program nuklear dan kepimpinan tertinggi ketenteraan Iran.
Ketika ditanya sama ada UK akan menyertai usaha menangkis serangan balas Iran terhadap Israel menggunakan dron dan peluru berpandu, Starmer enggan mendedahkan maklumat operasi namun menegaskan, fokus utama kerajaan kini memastikan kestabilan dan mengelakkan konflik lebih besar.
Starmer juga sudah berbincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan menyatakan komitmen bersama mengekalkan keamanan.
Beliau juga mengadakan perbualan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; dan Canselor Jerman, Friedrich Merz.
“Kami akui hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi adalah penting untuk memastikan keadaan tidak terus memburuk,” katanya sambil menambah konflik ini boleh memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk harga minyak.










