BANGKOK: Thailand memberi amaran terhadap penyebaran berita palsu yang boleh memburukkan lagi ketegangan berkait pertikaian sempadannya dengan Kemboja, ketika Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, menggesa usaha bersepadu dalam menangani isu berkenaan dan mengelakkan kegusaran awam.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap, berkata Perdana Menteri mengarahkan semua kementerian termasuk Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat serta agensi keselamatan, supaya memantau rapat dan membendung penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan pergolakan atau memburukkan lagi keadaan.
“Perdana Menteri juga menggesa kerjasama daripada semua saluran media, termasuk platform media sosial dan pihak berkaitan lain, agar tidak mencetus atau memburukkan konflik kerana tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terbabit pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand, serta wilayah Preah Vihear, Kemboja, yang dilapor mengorbankan seorang askar Kemboja.
Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Jirayu berkata, Kementerian Luar dilantik sebagai badan utama untuk menyediakan penjelasan rasmi, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan Thailand, selain menyelesaikan pertikaian mengikut kerangka undang-undang dan perjanjian sedia ada dengan Kemboja, khususnya bawah Memorandum Persefahaman (MoU) 43.
“Kerajaan Thailand yakin rundingan yang dijadualkan pada 14 Jun ini bawah Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC), akan membantu meredakan keadaan dengan mengutamakan kebajikan negara dan rakyat melebihi segala-galanya,” katanya.










