LIMA: Gempa bumi dengan magnitud 6.1 melanda Peru, mencetus kejadian tanah runtuh serta menyebabkan seorang maut dan 36 orang cedera, lapor pihak berkuasa.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan Peru, gempa berlaku sejurus sebelum tengah hari dan berpusat kira-kira 30 kilometer dari bandar pelabuhan Callao, yang terletak bersebelahan ibu negara Lima.
Pihak berkuasa Peru mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa itu.
Seorang lelaki dilaporkan maut di Lima apabila dinding runtuh dan menghempap kereta yang sedang dipandunya, menurut Polis Negara Peru.
Selain itu, Pusat Operasi Kecemasan melaporkan seramai 36 orang cedera di sekitar Lima.
Presiden Peru, Dina Boluarte menyeru orang ramai agar bertenang, sambil menegaskan tiada ancaman tsunami di kawasan pesisir Pasifik negara tersebut.
Saluran TV tempatan Latina menyiarkan rakaman tanah runtuh di beberapa kawasan sekitar ibu kota.
Gempa itu turut menyebabkan perlawanan bola sepak utama di Lima tergendala, manakala perkhidmatan tren bawah tanah di bandar itu juga dihentikan sementara.
Peru yang mempunyai kira-kira 34 juta penduduk terletak di zon Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Negara ini secara purata mencatat lebih 100 gempa bumi yang boleh dikesan setiap tahun.
Kali terakhir gempa besar berlaku ialah pada tahun 2021 di kawasan Amazon dengan magnitud 7.5, menyebabkan 12 orang cedera dan lebih 70 buah rumah musnah.
Gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah Peru berlaku pada tahun 1970 di wilayah utara Ancash, yang mengorbankan sekitar 67,000 nyawa.-AFP










