MINNEAPOLIS: Seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai anggota polis menembak mati seorang ahli politik negeri daripada parti Demokratik dan suaminya dipercayai sebagai pembunuhan bermotif politik, menurut Gabenor Minnesota, Tim Walz dan pegawai penguat kuasa undang-undang.
Suspek melarikan diri dengan berjalan kaki selepas melepaskan tembakan ke arah pihak polis dan meninggalkan sebuah kenderaan yang mengandungi dokumen manifesto serta senarai kira-kira 70 nama tokoh politik.
Senarai tersebut termasuk penyedia perkhidmatan pengguguran, aktivis hak pengguguran dan ahli politik dari Minnesota serta negeri lain, menurut penganalisis keselamatan CNN, John Miller.
Menurut laporan ABC News, senarai itu turut mengandungi nama-nama tokoh Demokratik terkenal dari Minnesota seperti Gabenor Tim Walz, Wakil Amerika Syarikat (AS) Ilhan Omar, Senator Tina Smith dan Peguam Negara Minnesota, Keith Ellison.
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Melissa Hortman yang juga bekas Speaker Dewan Perhimpunan Minnesota dan suaminya, Mark.
Seorang lagi ahli parlimen Demokratik dan pasangannya turut cedera dalam serangan tersebut.
Insiden tragis itu menggemparkan seluruh negara dengan pemimpin politik dari kedua-dua parti Republikan dan Demokratik menyuarakan rasa sedih serta menyeru agar retorik politik yang semakin melampau dihentikan.
Serangan ini berlaku hanya dua hari selepas perbicaraan panas di Kongres di mana Gabenor Walz bersama dua lagi gabenor Demokrat mempertahankan dasar negeri mereka yang memberi perlindungan kepada pendatang tanpa dokumen, dasar yang mendapat kritikan hebat daripada penyokong Presiden Donald Trump.
Pihak penyiasat mengenal pasti suspek dan percaya lelaki itu masih berada dalam lingkungan 5 kilometer dari lokasi kejadian. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan unit udara polis negeri turut dalam keadaan bersedia bagi menyertai operasi pencarian.
Ketua Peronda Negeri Minnesota, Kol. Christina Bogojevic berkata, risalah dengan tulisan ‘No Kings’ ditemukan dalam kenderaan suspek namun kaitan langsung dengan protes kebangsaan ‘No Kings’ yang membantah dasar Trump yang dijalankan pada hari sama tidak ditemui.









