JAKARTA: Sekurang-kurangnya 24 penerbangan melibatkan lokasi pulau peranginan Bali terpaksa dibatalkan hari ini selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki di timur Indonesia meletus, memuntahkan asap dan abu panas setinggi 10 kilometer ke udara.
Menurut laman sesawang rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Bali, antara syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan termasuk Jetstar dan Virgin Australia bagi laluan ke beberapa bandar utama Australia.
Turut terlibat ialah syarikat penerbangan Air India, Air New Zealand, TigerAir dari Singapura serta Juneyao Airlines dari China.
Beberapa penerbangan domestik AirAsia ke Labuan Bajo di Flores turut dibatalkan berikutan situasi tersebut.
“Operasi di Lapangan Terbang Ngurah Rai masih berjalan seperti biasa, namun pembatalan penerbangan berlaku bergantung kepada laluan dan keputusan syarikat penerbangan masing-masing,” kata seorang pegawai perkhidmatan pelanggan lapangan terbang.
Gunung Lewotobi Laki-Laki, yang berketinggian 1,703 meter di pulau Flores, meletus pada Selasa, menyebabkan pihak berkuasa menaikkan tahap amaran ke peringkat tertinggi.
Letusan tersebut turut menyebabkan hujan abu menyelimuti beberapa kampung berhampiran dan memaksa sekurang-kurangnya satu kampung dipindahkan lewat malam tadi, menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima.
Pada November tahun lalu, letusan berulang Gunung Lewotobi Laki-Laki telah meragut sembilan nyawa, menyebabkan puluhan penerbangan antarabangsa ke Bali dibatalkan serta memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas dengan lebih 270 juta penduduk, sering mengalami aktiviti gempa bumi dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik. — AFP










