Pemandu meninggal dunia akibat strok selepas bekerja 15 jam sehari - Utusan Malaysia

Pemandu meninggal dunia akibat strok selepas bekerja 15 jam sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura meninggal dunia akibat serangan strok selepas bekerja sehingga 15 jam sehari sebagai pemandu kenderaan sewa demi menyara dua anaknya yang masih bersekolah.

Mendiang, Gavin Neo, 49, yang merupakan bapa tunggal telah menarik perhatian masyarakat selepas kisah hidupnya dikongsi oleh rakan sekerja, Bryan Ang menerusi sebuah wawancara bersama media tempatan, lapor MStar, Isnin lalu.

Menurut Bryan, mendiang merupakan seorang yang sangat berdedikasi dalam pekerjaan dan amat menyayangi keluarganya dengan Gavin memulakan rutin hariannya pada waktu petang sehingga lewat malam, malah ada kalanya terus memandu hingga ke pagi.

Dia hanya akan berhenti sebentar untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah sebelum mengambil sedikit masa untuk berehat dan anak sulungnya kini berusia 17 tahun manakala anak kedua berumur 13 tahun.

Meskipun bekerja dalam tempoh yang lama, Gavin tetap memilih untuk hidup secara sederhana dan dia dikatakan kerap membeli nasi ayam paling murah yang berharga sekitar SGD3.80 (RM13) demi menjimatkan perbelanjaan harian.

Bagi memastikan dirinya kekal bertenaga, Gavin juga dikatakan mengambil minuman tenaga selepas makan sebelum meneruskan semula tugasnya sebagai pemandu.

Ketika ditanya tentang sikap berjimatnya, Gavin pernah menjelaskan kepada Bryan dia sanggup berkorban masa dan keselesaan demi memastikan masa depan anak-anaknya lebih terjamin.

Difahamkan, Gavin juga tidak merokok dan tidak mengambil minuman keras serta segala hasil pendapatan digunakan sepenuhnya untuk keperluan harian dan simpanan pendidikan anak-anak.

Bryan turut mengenang sahabatnya itu sebagai seorang yang rendah hati dan gemar membantu rakan sekerja, terutama dalam memberi panduan kepada pemandu baharu yang baru menceburi industri perkhidmatan pengangkutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN