HAMILTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia, sambil menyeru masyarakat antarabangsa menghayati semangat solidariti dan kasih sayang yang menjadi teras perayaan tersebut.
Dalam satu hantaran di platform media sosial X pada Khamis, Guterres menulis “Salam dan ucapan saya kepada semua yang menyambut #EidAlAdha.”
“Pada saat dunia dibelenggu konflik, perpecahan dan keganasan, marilah kita meneladani nilai solidariti, semangat kemasyarakatan dan rasa belas kasihan yang menjadi inspirasi dalam sambutan ini,” katanya sambil menambah ucapan ringkas “Eid Mubarak!”
Umat Islam mula menyambut perayaan Aidiladha hari ini dan ada yang meraikannya esok.
Sambutan Aidiladha juga berkait rapat dengan ibadah haji rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Ibadah haji mengandungi pelbagai amalan simbolik yang memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan keluarganya serta mencerminkan prinsip utama dalam ajaran Islam seperti ketaatan, keikhlasan dan perpaduan ummah. -AGENSI










