ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan secara rasmi mencalonkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, untuk Hadiah Keamanan Nobel 2026 atas campur tangan diplomatiknya dalam menangani ketegangan ketenteraan antara India dan Pakistan bulan lalu.
Pengumuman itu dibuat pada Sabtu, beberapa hari selepas Trump mendakwa dirinya sebagai perantara utama dalam perjanjian damai antara Republik Demokratik Congo dan Rwanda yang dimeterai di Washington.
Trump turut menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak diberi pengiktirafan oleh Jawatankuasa Nobel Norway atas peranannya dalam beberapa konflik antarabangsa termasuk di Asia Selatan dan Eropah Timur.
Trump, yang berkempen sebagai ‘pendamai sejati’ sebelum ini berjanji akan menggunakan kemahiran rundingannya untuk menamatkan perang di Ukraine dan Gaza. Namun, kedua-dua konflik itu masih berterusan meskipun beliau telah memegang jawatan presiden selama lima bulan.
Pegawai India bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan Trump dalam gencatan senjata antara negara mereka dengan Pakistan.
Dalam satu hantaran di platform X, kerajaan Pakistan memuji tindakan Trump sebagai kepimpinan strategik yang cemerlang dan kenegaraan luar biasa kerana berjaya meredakan ketegangan yang semakin memuncak menerusi usaha diplomatik yang menyeluruh bersama Islamabad dan New Delhi.
“Campur tangan ini membuktikan peranannya sebagai pendamai sejati dan komitmennya terhadap penyelesaian konflik melalui dialog,” kata kenyataan itu.
Ketegangan ketenteraan selama empat hari antara dua negara bersenjata nuklear itu tercetus selepas satu serangan militan di wilayah Kashmir yang ditadbir India yang didakwa New Delhi didalangi oleh Pakistan namun, tuduhan itu dinafikan oleh Islamabad.
Trump turut menawarkan diri sebagai orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian Kashmir yang telah lama berlarutan.
Pada Jumaat, Trump turut meramalkan bahawa AS akan berjaya memeterai perjanjian perdagangan dengan kedua-dua India dan Pakistan.










