BOSTON: Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah penangguhan sementara terhadap tindakan terbaharu Presiden AS, Donald Trump, yang cuba menghalang kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Harvard.
Tindakan itu menyusul selepas satu proklamasi yang dikeluarkan oleh White House pada lewat Rabu, yang melarang majoriti pelajar antarabangsa baharu daripada memasuki negara itu dan mengancam membatalkan visa pelajar sedia ada yang menuntut di universiti ternama berkenaan.
“Ini bukan kali pertama pentadbiran (Trump) cuba memutuskan hubungan antara Harvard dan pelajar antarabangsa,” menurut universiti itu dalam kenyataan.
Katanya, usaha terbaharu itu merupakan sebahagian daripada “kempen balas dendam yang tersusun dan kian memuncak” oleh kerajaan sebagai hukuman terhadap Harvard kerana mempertahankan haknya di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS untuk menolak campur tangan kerajaan dalam tadbir urus, kurikulum, serta kebebasan pemikiran warga fakulti dan pelajarnya.
Hakim Daerah, Allison Burroughs, memutuskan kerajaan tidak boleh melaksanakan proklamasi tersebut, sambil menyatakan tindakan segera diperlukan bagi mengelakkan kerugian besar dan tidak boleh diperbaiki terhadap Harvard sebelum kes didengar secara menyeluruh.
Tindakan Trump terhadap Harvard bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak kembali ke tampuk pemerintahan, pentadbiran beliau telah memotong sekitar AS$3.2 bilion (RM15 bilion) dalam bentuk geran dan kontrak persekutuan yang memanfaatkan universiti tersebut, selain berikrar untuk mengecualikan Harvard daripada sebarang pembiayaan persekutuan pada masa akan datang.
White House sebelum ini menuduh Harvard sebagai sarang penghasut anti-Amerika, anti-Yahudi dan pro-pengganas, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak universiti.
“Kelakuan Harvard telah menjejaskan integriti keseluruhan sistem visa pelajar dan pertukaran pelawat AS serta membahayakan keselamatan negara. Kini mereka harus berdepan akibat daripada tindakan mereka,” kata jurucakap White House, Abigail Jackson.
Pelajar antarabangsa menyumbang hampir 27 peratus daripada jumlah pendaftaran di Harvard bagi tahun akademik 2024-2025, menjadikan mereka sumber pendapatan penting bagi institusi berkenaan.
Dalam pemfailannya, Harvard mengakui presiden memiliki kuasa untuk melarang kemasukan kumpulan asing tertentu atas dasar kepentingan negara, namun menegaskan tindakan Trump kali ini lebih menjurus kepada dendam politik. -AGENSI










