SINGAPURA: Seorang lelaki yang didapati mengambil gambar bawah skirt seorang wanita di stesen MRT dijatuhi hukuman penjara 28 hari selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengintai tanpa keizinan.
Tertuduh, Lai Zi Yang, 26, yang baru sahaja mendaftarkan perkahwinannya pada Mei lalu, turut berdepan satu lagi pertuduhan serupa yang diambil kira semasa proses hukuman dijatuhkan semalam.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Teng Yin Hang, kejadian tersebut yang berlaku pada 1 November 2024 ketika tertuduh dalam perjalanan dari Jalan Besar bertemu rakannya untuk makan malam.
Setibanya di stesen MRT Tampines, Zi Yang menaiki eskalator dan ternampak seorang wanita memakai skirt di hadapannya.
Mahkamah diberitahu tertuduh kerap terdorong untuk mengambil gambar bawah skirt apabila berada dekat dengan wanita berpakaian sebegitu dan ketika menaiki eskalator tersebut, Zi Yang meletakkan telefon bimbitnya di atas lutut dengan lensa kamera menghala ke atas ke arah bahagian bawah skirt mangsa sebelum beliau sempat merakam sebanyak 14 gambar.
Seorang penumpang lain yang menyaksikan perbuatan itu segera menegurnya sebelum memaklumkan kejadian kepada mangsa yang kemudiannya membuat laporan polis.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh pernah mengambil gambar bawah skirt sekurang-kurangnya 10 wanita lain dan menyimpan lebih 100 imej seumpamanya.
Tertuduh mengaku menggunakan telefonnya untuk merakam gambar-gambar tersebut sebelum memindahkannya ke dalam fail yang dikunci dengan kata laluan.
Zi Yang juga mengaku sering melihat semula gambar-gambar berkenaan ketika bersendirian di rumah atau di dalam tandas.
Peguam bela, Low Chun Yee, dalam rayuannya memohon mahkamah mengambil kira anak guamnya masih muda dan baru mendirikan rumah tangga.
Katanya, Zi Yang kini sedang menunggu kunci rumah BTO dan telah memulakan rawatan secara sukarela untuk menangani kecenderungannya namun, Hakim Daerah, John Ng berkata, tertuduh menunjukkan corak tingkah laku yang membimbangkan, dengan lebih 100 gambar ditemui dalam simpanannya.
“Kesalahan sebegini sukar dikesan dan hukuman yang tegas perlu dijatuhkan bagi memberi mesej jelas kepada mereka yang mungkin berniat melakukan perbuatan sama,” tegas beliau.
Mengikut undang-undang Singapura, kesalahan mengintai secara visual boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, sebatan, atau gabungan ketiga-tiganya. —AGENSI










