PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet semalam memaklumkan dua lagi pintu sempadan dengan Thailand ditutup sepenuhnya susulan pertikaian sempadan yang berterusan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu, lapor Xinhua.
Hun Manet berkata, tentera Thailand sudah memaklumkan kepada Gabenor Wilayah Oddar Meanchey di Kemboja mengenai keputusan sepihaknya untuk menutup pintu sempadan Choub Korki mulai Ahad.
“Saya bersetuju dengan maklum balas gabenor bahawa kita juga akan menutup pintu sempadan itu secara kekal,” katanya dalam hantaran di platform media sosial rasminya pada Ahad.
“Saya juga meminta gabenor memaklumkan kepada pihak Thailand bahawa Kemboja turut memutuskan untuk menutup satu lagi pintu sempadan di Choam, sekali dengan pintu Choub Korki,” katanya.
Tentera Thailand telah mengumumkan penutupan pusat perdagangan di Chong Sai Taku, Wilayah Buriram, berkuat kuasa mulai Sabtu.
Dalam kenyataan pada Ahad, tentera Thailand berkata ia melaksanakan langkah kawalan untuk membuka dan menutup semua jenis pintu lintasan di sepanjang sempadan Thai-Kemboja mengikut situasi keselamatan.
Media Thailand pada Ahad turut melaporkan tentera negara itu bersiap sedia menutup dua lagi pintu sempadan sebagai tindak balas terhadap pengumuman Kemboja untuk menutup dua pintu sempadan.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menggesa rakyat Thailand yang berada di Kemboja agar lebih berhati-hati, mengelak kawasan tunjuk perasaan atau kawasan berisiko tinggi, dan sentiasa mengikuti perkembangan menerusi saluran rasmi.










